Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris berpendirian untuk hadir menyaksikan proses bedah siasat kali kedua yang dijadualkan berlangsung esok pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut peguam keluarga, Datuk Naran Singh, walaupun telah dinasihatkan agar tidak hadir sekiranya tidak mampu melihat prosedur berkenaan, ibu mangsa tetap berpegang kepada keputusannya untuk menyaksikan keseluruhan proses tersebut.
“Beliau telah mengenal pasti mayat anaknya petang ini dan tetap mahu hadir esok walaupun dimaklumkan prosedur itu boleh memberi kesan emosi.
“Setakat ini, keadaan fizikal jenazah didapati kembung namun organ dalaman masih lagi utuh,” katanya ketika ditemui di HKL, hari ini.
Tambah beliau, proses bedah siasat akan dijalankan oleh tiga pakar forensik dan akan disaksikan oleh pakar yang mewakili keluarga, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh.
“Post-mortem akan bermula pukul 9 pagi. Buat masa ini, kita belum bincang secara terperinci mengenai kecederaan kerana prosedur masih belum dijalankan,” katanya.
Terdahulu, jenazah Syamsul Haris telah digali semula pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih dan dihantar ke HKL menaiki ambulans Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira pukul 9.37 pagi.
Bedah siasat kali kedua itu dilakukan susulan permintaan keluarga bagi mendapatkan kepastian lanjut berhubung punca kematian mangsa. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu nekad saksi proses bedah siasat Syamsul Haris – Peguam appeared first on Kosmo Digital.