Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR GAJAH – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan isterinya cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia di persimpangan lampu isyarat Jelatang, Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, Zulkifli yang memandu Nissan Teana mengalami luka pada kedua-dua tangan, manakala isterinya mengadu sakit dada.
Menurutnya, pemandu Perodua Axia yang merupakan pekerja kilang berusia 30 tahun pula mengalami patah tulang rusuk dan tulang pinggul, sementara tiga lagi penumpang hanya cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati Nissan Teana berkenaan sedang meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat Jelatang sebelum bertembung dengan Perodua Axia yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek.
“Akibat kemalangan itu, Ahli Parlimen Jasin mengalami kecederaan ringan berupa luka pada kedua-dua tangan, manakala isterinya mengadu sakit di bahagian dada,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.-KOSMO! ONLINE.
The post Ahli Parlimen Jasin, isteri cedera dalam kemalangan appeared first on Kosmo Digital.
