Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Cubaan dua lelaki bersenjata parang menyamun seorang lelaki tempatan di sebuah premis membuat mi di Ulu Yam Bharu, Hulu Selangor gagal.
Dalam kejadian sekitar pukul 6.42 pagi, tular di media sosial selepas satu rakaman video menunjukkan dua lelaki memakai pakaian hitam, bertopi, bertopeng muka dan memegang parang sedang menyerang mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, pihak mengesahkan kejadian yang berlaku pada 18 Jun lalu.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah premis membuat mi di Ulu Yam Bharu apabila dua suspek dipercayai warga tempatan masuk melalui pintu belakang premis dan cuba menyerang mangsa menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang ketakutan menjerit meminta tolong menyebabkan suspek panik dan melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa barang.
“Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1132 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Saful Abdul Rahman di talian 013-5547435,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki bersenjata parang diburu di Hulu Selangor appeared first on Kosmo Digital.