Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang melaksanakan tujuh projek pembangunan dan menaik taraf pelbagai infrastruktur Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dengan peruntukan berjumlah RM1.14 bilion.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelaksanaan projek itu bertujuan memperkukuh perkhidmatan di hospital awam berkenaan selari hasrat menjadikan HSA sebagai hab rawatan rujukan utama di negeri ini.
Katanya, projek ini merangkumi pembangunan pusat rawatan harian dan kompleks klinik pakar; peningkatan sistem elektrikal dan mekanikal, penggantian serta pemodenan lif, sistem gas perubatan, neurosurgical suite dan kemudahan makmal patologi.
“Antara tumpuan utama adalah pembinaan tiga dewan bedah baharu bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf di 12 dewan bedah sedia ada dilakukan. Apabila siap kelak, HSA Johor Bahru akan memiliki 15 dewan bedah serba baharu.
“Kerja-kerja pembinaan tiga dewan bedah baharu itu akan melibatkan kos berjumlah RM20.7 juta. Langkah ini diambil bagi memastikan kerja-kerja naik taraf infrastruktur dapat dilaksana pada masa sama meminimumkan gangguan perkhidmatan kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke hospital berkenaan, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.
Sementara itu, mengulas tentang peruntukan berjumlah RM500 bagi pembinaan blok baharu dan parkir bertingkat di hospital itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 September 2023 lalu, Akmal Nasrullah berkata projek tersebut merupakan antara tujuh projek yang dijalankan kerajaan di hospital berkenaan.
“Projek parkir bertingkat itu merupakan sebahagian projek pembinaan pusat rawatan harian dan kompleks klinik pakar yang akan dilaksana seawal tahun depan melibatkan peruntukan berjumlah RM877.54 juta.
“Ketika ini, Surat Setuju Terima melibatkan projek itu dijangka akan dikeluarkan tahun depan,” katanya.
Pada masa sama, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, terdapat sebanyak 613 program dan projek pembangunan sedang dilaksanakan kerajaan di seluruh Johor melibatkan peruntukan berjumlah RM56.12 bilion.
“Daripada jumlah itu, 154 projek adalah projek baharu manakala 459 lagi merupakan projek sambungan. Setakat 27 lalu, sebanyak RM2.5 bilion atau 50.51 peratus daripada peruntukan RM4.95 bilion bagi pelakon projek pembangunan di negeri ini sepanjang tahun ini telah dibelanjakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tujuh projek di HSA bernilai RM1.14 bilion sedang dilaksana appeared first on Kosmo Digital.
