Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Ibu kepada mendiang A. Tishant, 6, yang cuba membunuh diri pada malam Selasa lalu, kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, wanita berkenaan mengalami kemurungan atas kematian anak tunggalnya itu yang disyaki dibunuh suaminya sendiri sebelum ditanam di kawasan di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Katanya, wanita itu yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru berjaya diselamatkan.
“Polis mengesahkan ibu mendiang Tishant yang dikatakan cuba membunuh diri dibenarkan keluar dari hospital pagi semalam. Dia kini dalam keadaan stabil,” katanya ringkas.
Sebelum ini, wanita tersebut pernah menyuarakan akan membunuh diri sekiranya apa-apa berlaku terhadap anak lelakinya itu.
Ibu kepada mendiang Tishant menulis hal itu di ruangan komen akaun TikTok sebuah portal berita yang menyiarkan berita mengenai kehilangan anak lelakinya itu.
Wanita itu yang menggunakan akaun bernama Hema Malini turut menulis bahawa dia pernah dipukul oleh suaminya dan bertindak melarikan Tishant dari rumah mereka sebelum membuat laporan polis palsu mengenai kehilangan anak lelakinya.
“Ya I (saya) ibunya, kita nak cerai so (jadi) dia larikan (Tishant). Sekarang dia tipu anak hilang tapi CCTV (televisyen litar tertutup) tunjuk anak tak turun dekat kopitiam.
“Ya sis, esok I (saya) pergi jumpa dia nak buat reverse psychology (memujuknya). Kalau apa-apa dia ada buat, I akan bunuh diri,” tulisnya di ruang komen.-KOSMO! ONLINE
The post Ibu Tishant kemurungan ‘hilang’ anak, stabil di HSI appeared first on Kosmo Digital.