Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) tahun lalu menerusi lagu Hening Rindu, penyanyi Marsha Milan kembali mengorak langkah apabila lagu ciptaannya bersama Hazama, Tangisan Seorang Pendosa berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir AJL40.
Menurut Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 41, kejayaan itu memberi makna besar buat dirinya apabila buat kali pertama karya ciptaannya sendiri berjaya menempatkan diri dalam anugerah berprestij itu.
“Jika bercakap mengenai tekanan, mungkin masih terlalu awal kerana peringkat separuh akhir masih belum berlangsung. Namun, saya sangat teruja kerana ini kali pertama lagu ciptaan saya sendiri bersama sahabat berjaya mara.
“Itu bukan tekanan, sebaliknya satu perasaan yang sentiasa bermain dalam fikiran sebagai persiapan menuju AJL tahun ini,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya, di sini, baru-baru ini.
Pernah memenangi gelaran juara, naib juara dan kategori Persembahan Terbaik, penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia 3 itu menyimpan hasrat untuk meraih pengiktirafan dalam kategori Vokal Terbaik pula yang disifatkannya antara anugerah idaman ramai penyanyi tanah air.
“Sejujurnya, saya juga menyimpan hasrat untuk memenangi kategori Vokal Terbaik. Anugerah lain sudah saya raih, jadi Vokal Terbaik itu antara yang diidamkan ramai penyanyi.
“Namun, selebihnya saya serahkan kepada rezeki. Kalau ada rezeki saya bersyukur. Orang kata, apabila kita menyuarakan sesuatu harapan, ia seolah-olah mendekatkannya dengan kita. Jadi, saya nyatakan sahaja sasaran itu.
“Malah, impian untuk meraih Vokal Terbaik sudah lama. Saya harap suatu hari nanti, saya berpeluang untuk mencapainya,” kongsinya.
Bercerita mengenai lagu Tangisan Seorang Pendosa, Marsha berkata, karya itu menuntut penghayatan emosi yang lebih mendalam berbanding karya-karya sebelum ini.
“Bagi saya, lagu ini mempunyai emosi yang lebih mendalam dengan elemen watak seperti insan berdosa, pengemis dan perjalanan batin yang berat.
“Jadi, saya mahu membawakan lagu ini dengan pendekatan yang lebih lembut dan beremosi,” ujarnya.
Tangisan Seorang Pendosa ciptaan Marsha bersama Hazama antara 20 karya diumumkan mara ke peringkat separuh akhir AJL40 yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 April ini. KOSMO! ONLINE
The post Impian untuk menang Vokal Terbaik sudah lama – Marsha Milan appeared first on Kosmo Digital.
