Auto Added by WPeMatico

MENGHARGAI peminat, pelakon dan pengacara Uyaina Arshad membuat kejutan kepada seorang wanita dengan menyamar sebagai pelayan restoran sebuah hotel.
Uyaina atau nama lengkapnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, merealisasikan impian penggemarnya menerusi pakatan bersama suami individu berkenaan yang menghubunginya menerusi Instagram.
“Suami dia kata isterinya peminat tegar dan selalu menceritakan tentang saya padanya setiap hari.
“Disebabkan itu, lelaki tersebut berhasrat menemukan isterinya dengan saya agar dapat mengembirakan insan kesayangannya itu,” katanya dalam hantaran video Instagram.
Selain lelaki terbabit, kejutan yang diatur di sebuah hotel terkemuka itu turut berlangsung dengan kerjasama pasukan produksi.
Menerusi video dikongsikan, Uyaina yang berpakaian sebagai pelayan mengambil pesanan di meja pasangan terbabit.
Namun selepas itu dia kononnya meminta wanita berkenaan mengambilkan fotonya sebelum membuka pelitup muka dan kaca mata dikenakan.
Melihat personaliti kesayangan di depan mata, peminatnya itu terdiam seketika seterusnya dilihat menitiskan air mata terharu sambil memeluk Uyaina.
Turut berasa sebak, menurutnya momen mengharukan itu cukup bermakna sepanjang hampir sedekad berada dalam industri hiburan.
Hampir sembilan tahun bergelar anak seni, ini kali pertama saya buat kejutan buat seseorang yang memberi makna dan menyokong perjalanan seorang Uyaina Arshad dalam industri seni tanah air.
“Segan sebenarnya untuk cakap yang kita ada peminat, sebab entah lah. Rasa diri ini masih terlalu hijau dalam industri,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen ramai netizen memuji isteri kepada pelakon Raja Syahiran sebagai selebriti yang senang didekati selain sentiasa menghargai peminat.
“Uyaina manis orangnya dan baik hati. Banyak aura positif sebab itu ramai sayang termasuk kakak-kakak dan adik-adik,” tulis netizen.
“Senang cakap Uyaina ada hati bersih, cakap pun beradab sampai saya pun minat,” kata seorang pemilik akaun lain.
Pada masa sama, ibu kepada dua anak itu turut mengucapkan terima kasih kepada wanita terbabit kerana meminatinya serta mendoakan kebahagiaan rumah tangga bersama pasangan. – HIBGLAM
The post ‘9 tahun jadi anak seni, saya segan ada peminat’ appeared first on HibGlam.