Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terharu selepas menerima pelbagai kad ucapan Aidilfitri hasil sentuhan kreatif murid-murid dari beberapa sekolah di seluruh negara.
Menerusi satu perkongsian, kelihatan kesemua kad yang diterima beliau dihasilkan dengan cukup kreatif dan berwarna-warni, malah ada antaranya turut dihiasi dengan lampu, sekali gus mencuri perhatian.
Anwar berkata, setiap kad yang diterimanya bukan sekadar membawa ucapan sempena Syawal, sebaliknya menjadi lambang ingatan tulus serta kasih sayang yang amat bermakna buat dirinya.
“Alhamdulillah, terharu betul saya bila terima pelbagai kad ucapan Aidilfitri yang penuh warna-warni hasil kreativiti anak-anak, ada yang lukis, ada yang siap berlampu memang kreatif habis.
“Setiap kad yang saya terima bukan sekadar ucapan, tetapi tanda ingatan yang tulus dan penuh kasih sayang. Kecil pada rupa, namun besar maknanya buat saya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Paling menyentuh hati, Perdana Menteri sempat meluangkan masa menandatangani kesemua kad ucapan tersebut selain mencatat nama-nama sekolah yang mengirimkan kad berkenaan.
Tindakan itu sekali gus menggambarkan penghargaan beliau terhadap usaha dan kreativiti murid-murid yang bersungguh-sungguh menzahirkan ucapan Aidilfitri menerusi hasil tangan sendiri.
Difahamkan, antara kad ucapan yang diterima adalah daripada murid Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Sekolah Kebangsaan Muazzam Jaya, murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Talang, Sekolah Dalam Hospital Hospital Selayang serta Sekolah Damansara Jaya.
“Terima kasih yang tidak terhingga, semuanya amat saya hargai,” katanya.
Perkongsian tersebut turut disusuli ucapan Salam Lebaran daripada Anwar kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Aidilfitri.
“Salam lebaran buat semua,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post PM terharu ‘review’ kad raya kreatif murid pelbagai sekolah appeared first on Kosmo Digital.
