Auto Added by WPeMatico

BAHASA Melayu perlu hidup subur meskipun bersaing dengan bahasa asing terutamanya Inggeris yang dianggap lebih gah. Kini, sedikit demi sedikit bahasa yang melambangkan jati diri orang Melayu itu semakin pudar.
Tidak mahu bahasa Melayu dianaktirikan di negara sendiri, Muhamad Mukhriz Mohd. Mokhtar, 22, memilih memartabatkan bahasa kebangaan itu dengan mengikuti pengajian Bachelor Sastera
Dalam Bahasa Melayu Untuk Komunikasi Antarabangsa (Kepujian) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Johor.
Akui pemuda yang mesra disapa Mukhriz itu, tindakannya melanjutkan pengajian dalam bahasa Melayu menerima respons yang kurang baik kerana menganggap kursus tersebut tidak mempunyai masa depan.
“Ramai terkejut dengan keputusan saya untuk menyambung pengajian bahasa Melayu kerana ketika di tingkatan lima, saya mengambil aliran Sains Tulen dan Akauntan, malah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga cemerlang.
“Pada awalnya, saya juga dilema mahu pilih bahasa Melayu atau meneruskan pengajian matematik. Namun setelah difikirkan dan membuat penelitian, saya mendapati bidang ini sebenarnya sangat luas, dan tidak terhad kepada masyarakat di alam Melayu saja.
“Setelah mengikuti pengajian ini, pandangan saya semakin terbuka luas apabila pensyarah menerangkan kepentingan bahasa Melayu. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa tetapi melambangkan ketamadunan, adat dan budaya,” cerita anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Tambah Mukhriz, ramai yang beranggapan pelajar yang mengambil jurusan bahasa Melayu tidak fasih berbahasa Inggeris.
Sebaliknya dia berkata, Inggeris menjadi bahasa pertuturannya seharian di rumah dan sekolah kerana bersekolah di Penang Free School, Pulau Pinang.

aktif dalam pelbagai program
di UIAM Kampus Pagoh.
“Saya berasa sangat sedih dengan pemikiran masyarakat pada ketika ini yang menganggap bahasa Inggeris sebagai kiblat untuk segalanya, bahkan berpandangan mereka yang bertutur dalam bahasa Inggeris lebih bijak.
“Oleh itu, saya rasa bertanggungjawab untuk mengangkat bahasa Melayu di tempat tertinggi, tetapi usaha ini tidak mudah dan memerlukan kerjasama semua orang,” katanya yang aktif dalam debat sejak di bangku sekolah serta menjadi wakil debat untuk UIAM Kampus Pagoh.
Ujar jejaka berasal dari Pulau Pinang itu, ketika di sekolah menengah, dia aktif dalam persatuan beruniform Kadet Polis dan sukan ragbi.
Namun katanya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti luar itu terpaksa dihentikan sehingga menyebabkan dia mula berjinak-jinak dalam debat serta pantun secara online.
“Saya berasa bosan kerana tiba-tiba tiada aktiviti nak dibuat, apatah lagi terpaksa berkurung dalam rumah kerana PKP.
“Jadi, saya cuba menyertai debat secara online, dan tidak sangka saya dapat memenangi pelbagai pertandingan sehingga menjadi wakil debat peringkat negeri dan kebangsaan.
“Ketika di sekolah menengah, saya banyak belajar menjadi pendebat daripada guru panitia Bahasa Melayu yang juga seorang pendebat ketika dia belajar di universiti suatu ketika dahulu.
“Ini semua menjadi akar yang membuatkan saya semakin jatuh cinta dengan bahasa Melayu,” katanya yang pernah meraih juara Debat Piala Rakan Muda pada 2024.
Di samping aktif debat, Mukhriz juga berbakat besar dalam kepimpinan seperti pernah memegang jawatan Presiden Jawatankuasa Perwakilan Mahallah (MRC), Zaid Harithah dan Naib Pengerusi I,
Suruhanjaya Pilihan Raya Persatuan Pelajar Kuliyyah Pelancongan Lestari dan Bahasa Kontemporari.
Mukhriz yang kini berada di tahun akhir pengajian sedang membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang bahasa Melayu bagi merealisasikan impiannya bergelar pensyarah dan pakar bahasa Melayu.
The post Usaha Mukhriz memartabatkan bahasa Melayu appeared first on Kosmo Digital.
