Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang tular merokok dan bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 7 minggu lalu akhirnya diberkas semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penahanan suspek berusia 49 tahun dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di Persiaran Kayangan Seksyen 9 di sini selepas pulang menunggang motosikal dari Thailand.
Katanya, siasatan mendapati suspek bekerja sebagai mekanik bengkel motosikal.
“Suspek telah berjaya ditangkap sekitar daerah ini selepas baharu pulang ‘ride’ dari Thailand.
“Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini untuk reman,” katanya hari ini.
Jelas beliau, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau.
Kosmo! sebelum ini melaporkan
berang ditegur merokok menyebabkan seorang lelaki bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 13 di sini, baru-baru ini.
Kejadian pukul 11.50 malam pada 11 September lalu menimpa seorang wanita hamil dan suaminya yang tidak selesa dengan tindakan suspek merokok di meja berdekatan.
Mangsa hamil lapan bulan dan bimbang dengan kesihatannya kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan lelaki itu, namun tidak diendahkan.
Selepas tiga kali ditegur suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan serta didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran.
Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang dipenuhi pelanggan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki tular gaduh merokok di restoran diberkas selepas ‘ride’ dari Thailand appeared first on Kosmo Digital.