Auto Added by WPeMatico

SUNGAI PETANI – Seorang bekas kakitangan sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 58 pertuduhan menipu melibatkan kerugian kira-kira RM1.3 juta, lima tahun lalu.
Tertuduh, V. Elenggo, 56, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan memohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya mangsa yang merupakan bekas rakan sekolahnya, T.Chandrarajan, 56, bagi membiayai pelbagai jenis projek fasiliti di sekolah antarabangsa tersebut antaranya melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem dan peralatan kemudahan.
Perbuatan itu mendorong mangsa yang merupakan seorang ahli perniagaan di sini untuk menyerahkan wang secara berperingkat dianggarkan berjumlah RM1.3 juta secara dalam talian ke pelbagai akaun bank milik tertuduh bermula Februari hingga Julai 2020.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam, P. Suresh.
Suresh bagaimanapun memohon agar wang jaminan dikurangkan kerana ia sekadar memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah setiap kali perbicaraan.
Mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan bagi 58 pertuduhan ialah sebanyak RM125,500 dan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas kakitangan sekolah antarabangsa hadapi 58 pertuduhan kes tipu appeared first on Kosmo Digital.