Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Bagai dijanjikan, gabungan tiga pemain dram iaitu Jojet, Black dan Ainol pada konsert Pentas Barbarik Volume 2 di Mega Star Arena meninggalkan impak yang berbekas di hati 5,000 penonton.
Kerja gila seperti diluahkan gitaris Barbarik, JoBranko sehari sebelum persembahan mega itu nyata ‘menjadi’ apabila dram ‘battle’ selama tiga setengah minit pada segmen pembukaan mencetuskan ‘bunyi’ tersendiri.
Sekali gus, segmen membabitkan tiga pemain dram terbaik itu sebagai petanda kemunculan kumpulan yang dikenali dengan identiti permainan muzik hebat terbabit kali ini bukan biasa-biasa.
Kolaborasi dua drummer otai, Jojet dan Black bersama orang muda seperti Ainol menyuntik elemen ‘wow’ yang membuatkan gelanggang gah di Bukit Bintang itu bergema dengan sorakan peminat.
Bahkan, konsert berdurasi hampir tiga jam itu dimantapkan lagi penampilan gitar Cromok, Karl sebagai pemuzik undangan untuk berkongsi pentas dengan JoBranko.
Walau sudah acap kali Barbarik berkolaborasi bersama Karl, gandingan dua gitaris legenda itu tetap dinantikan ramai sehingga ada yang sanggup ‘terbang’ dari Sabah, Sarawak serta Singapura.
Paduan pemain bes Barbarik, Rozaimi bersama bekas anggota Wings, Eddie juga tidak boleh dilupakan apabila menyuntik ‘sound’ tersendiri setiap kali mereka tampil di pentas.
Melengkapkan lagi keseluruhan aksi adalah kemunculan Muss selaku vokalis yang tidak boleh dipertikaikan keampuhan suaranya menyampaikan lebih 20 lagu pada malam itu.
Antara seleksi yang menyuntik adrenalin khalayak ialah Enigma, Kasmaran, Krisis Di pertengahan Hidup, Padamkan Lampu, Peluru Cokelat dan Keris Tak Ada Sarung.
Barbarik juga mengundang bekas penyanyi Wings, Mel untuk menyampaikan Lena Diulit Intan dan Ranjang Mawar daripada album Orang Asing terbitan tahun 1995.
Kepuasan jelas tergambar pada wajah setiap penonton yang rata-rata mengakui berbaloi berebut membeli tiket untuk mengikuti konsert Pentas Barbarik Volume 2.
Dengan rekaan pentas ditambah penataan cahaya serta sistem bunyi hebat, aksi lima bintang kumpulan kesayangan mereka diibaratkan setara band antarabangsa.
Sebelum berlalu, Muss mewakili rakan lain turut mengumumkan konsert gabungan Barbarik dan Cromok pada 22 Mac ini disusuli satu lagi konsert Barbarik di Singapura pada Jun depan. – KOSMO! ONLINE
The post Konsert Barbarik Volume 2 sarat elemen ‘wow’ appeared first on Kosmo Digital.