Auto Added by WPeMatico

KEHADIRAN Syawal yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan bertukar menjadi detik paling memilukan buat penyanyi, Datin Alyah apabila abang tersayang, Ameran Abu Hassan disahkan meninggal dunia pada pagi raya kedua, hari ini.
Pemilik nama lengkap Nor Hasliah Abu Hassan, 45, memaklumkan jenazah berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum dibawa pulang ke kediaman ibu mereka bagi urusan pengebumian.
“Abang saya Ameran Abu Hasan telah kembali ke rahmatullah subuh tadi.
“Jenazah masih berada di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, pelantun lagu Sesal Separuh Nyawa itu sangat berharap dapat bertemu dengan arwah pada Aidilfitri kali ini, namun tidak menyangka pertemuan pada penghujung Ramadan lalu merupakan lambaian terakhir buat mereka.
“Ija (panggilan Alyah) betul-betul berharap dapat jumpa abang chik (panggilan abang) syawal kali ini.
Tak sangka Ramadan Jumaat kelmarin adalah untuk kali terakhir rupa-rupanya,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Alyah turut menjemput kenalan arwah yang ingin memberikan penghormatan terakhir untuk hadir ke rumah ibunya di Johor.
“Saya minta kepada sesiapa yang mengenali arwah abang saya yang ingin memberi penghormatan terakhir buatnya.
Saya alu-alukan ke rumah mak saya di Kampung Melayu Gelang Patah, Johor Bahru tengah hari ini bagi persinggahan terakhir arwah.
“Saya juga memohon untuk kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat arwah Ameran Abu Hassan,” katanya.
Bagaimanapun, isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS itu tidak memperincikan punca kematian abangnya.
Sebelum ini, Alyah pernah kehilangan abang sulungnya, Mohammad Fadzil Abu Hassan yang meninggal dunia pada tahun 2021. – HIBGLAM
