Auto Added by WPeMatico

BUKAN mudah untuk istiqamah, penyanyi Syasya Rizal berkongsi perjalanan hijrahnya termasuk pergelutan batin saat meninggalkan gaya hidup lama yang pernah mengangkat namanya dalam media sosial.
Ujar Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, godaan untuk kembali kepada imej lama sentiasa datang, seolah-olah ada sahaja suara yang cuba memujuknya menanggalkan tudung.
“‘Ala, skirt pendek saja pun. Semua orang pakai, menari sikit saja, bukan dosa besar pun.
“‘Yang penting dapat followers, dapat job, dapat duit’.
“Ayat-ayat tu dia ulang sampai hati dia mati rasa. Sampai dia percaya, dosa tu cuma content,” katanya dalam Threads.
Tambah bekas anggota Dolla itu, hidupnya berubah sebaik menutup aurat namun reaksi orang sekeliling pula tidak seindah yang disangka.
“Dahulu bila orang pandang, rasa disayang tapi lepas tutup aurat, pandangan sama berubah macam buat salah.
“Dahulu panggil dia ‘Queen’, sekarang sindir dia ustazah TikTok. Dahulu sokong? sekarang senyap,” luahnya.
Syasya mengakui usaha perubahannya untuk menjadi wanita dan individu lebih baik bukan sahaja dipandang sepi malah terasa seakan-akan hijrahnya hanya layak diraikan andai dia kekal cantik mengikuti standard masyarakat.
Namun dalam satu fasa rasa kehilangan, dia yakin Allah sedang membuka ruang untuknya kembali mengenal diri.
“Macam hijrah hanya layak diraikan kalau dia masih cantik ikut standard orang. Sampai satu hari, Allah buat rasa hilang dan dalam kehilangan itu? dia jumpa diri dia semula.
“Satu-satu video dan gambar lama dipadam. Bukan sebab malu orang tengok, tapi sebab malu Allah tengok,” ujarnya.
Paling penting kata ibu dua anak itu, dia sentiasa berdoa agar kekal istiqamah dan kuat mengharungi ujian dunia.
“Sejak hari itu, doa cuma satu. Ya Allah, jangan kembalikan aku kepada versi yang manusia sayang, tapi Kau tak redha,” tuturnya.
Turut bersimpati, rata-rata netizen tampil menzahirkan kata semangat, mendoakan Syasya terus istiqamah dalam hijrahnya serta menemukan cahaya selepas badai panjang yang pernah merantai jiwanya.
Untuk rekod, pada 8 April tahun lalu, Syasya membuat kejutan apabila mengumumkan undur diri daripada Dolla berikutan hal peribadi yang tidak dapat didedahkan.
Sejak keluar daripada kumpulan itu, dia mengambil keputusan untuk mula berhijab selain mengesahkan sudah bernikah dengan suaminya, Nasrullah Mohd Sapie pada 21 April 2024. – HIBGLAM.
The post ‘Dahulu orang panggil Queen, sekarang disindir ustazah TikTok’ appeared first on HibGlam.