Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung dua kes penularan video di aplikasi TikTok dipercayai mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, dua akaun TikTok iaitu @zamanharris82 dan @no.wad sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman.
“Kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam yang menggunakan akaun TikTok @zamanharris82 dengan memuat naik komen berunsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
M Kumar berkata, kes kedua membabitkan seorang lelaki menggunakan akaun TikTok @no.wad yang mempersoalkan tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru.
“Hantaran tersebut dipercayai berpotensi mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Sementara itu, M Kumar berkata kesemua kes menunjukkan penyalahgunaan media sosial dan kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat.
“PDRM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial.- KOSMO! ONLINE
The post Dua akaun TikTok sebar video hina kerajaan disiasat appeared first on Kosmo Digital.