Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang duda ditemui maut selepas tunangnya meluahkan hasrat untuk memutuskan hubungan mereka dalam kejadian di sebuah rumah di pangsapuri di Sungai Putat di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.40 petang selepas mangsa yang berusia 39 tahun bertengkar dengan wanita terbabit kerana cemburu.
“Pada pukul 4.30 petang si mati dan tunangnya berusia 31 tahun telah bertengkar kerana cemburu.
“Wanita itu terus masuk ke dalam biliknya sebelum keluar semula kira-kira 30 minit kemudiannya dan mendapati lelaki itu sudah tidak bernyawa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, terkejut dengan kejadian itu wanita berkenaan terus meminta bantuan jiran dan menghubungi pihak polis.
“Pemeriksaan pasukan polis di lokasi menemui mangsa di atas lantai dalam bilik utama rumah.
“Hasil soal siasat, tunang si mati memberitahu dia berasa tertekan selepas wanita itu menyatakan hasrat ingin memutuskan pertunangan mereka,” katanya.
Jelasnya, si mati yang bekerja sebagai tukang masak menetap di kediaman itu bersama tunangnya dan dua lagi abang wanita terbabit sejak awal Mac lalu.
Christopher berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE
The post Duda ambil nyawa sendiri kecewa tunang minta putus appeared first on Kosmo Digital.