Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kejayaan seorang pelajar cemerlang memperoleh 11A+ dalam semua subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuka lembaran baharu apabila ditawarkan menyertai program khas ke Jordan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar tersebut, Fakhrul Iman Zainudin, 18, yang juga anak kepada penjual pisang goreng hadir ke pejabatnya bersama ibu bapa bagi meneroka peluang pembiayaan pelajaran.
Menurut Asyraf Wajdi, Fakhrul Iman yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson turut memiliki kelebihan sebagai hafiz al-Quran 30 juzuk.
“Melihat slip keputusan beliau, saya amat teruja dan terus mencadangkan supaya beliau masuk dalam program khas ke Jordan yang Mara sediakan bagi pelajar-pelajar tahfiz yang cemerlang untuk memperdalami bidang Syariah, pengkhususan dalam bidang Ekonomi dan Kewangan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, beliau turut berkongsi pengalaman dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam bagi membuka perspektif Fakhrul Iman agar tidak hanya tertumpu kepada bidang syariah semata-mata.
Katanya, kepakaran dalam kewangan Islam amat diperlukan memandangkan Malaysia merupakan antara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam di peringkat global.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan pesanan agar remaja itu tidak melupakan jasa ibu bapanya yang membesarkannya hasil jualan pisang goreng.
“Insya-Allah suatu hari nanti apabila berjaya, jangan lupa jasa ibu bapa yang memerah keringat membesarkan Fakhrul. Dengan ilmu, kehidupan keluarga boleh diubah dengan izin Allah,” ujarnya.
Dalam suasana santai, beliau turut sempat menguji hafazan al-Quran Fakhrul Iman secara berseloroh sebelum mempertimbangkan permohonan pelajar itu. – KOSMO! ONLINE
The post Anak penjual pisang goreng 11A+ SPM ditawar ke Jordan appeared first on Kosmo Digital.
