Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius insiden tular melibatkan tindakan menghalau seorang jemaah daripada berada di dalam surau selepas menunaikan solat Subuh baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan sedemikian mencerminkan kegagalan dalam menghayati adab dan tatakelola pengurusan rumah ibadah umat Islam.
“Masjid dan surau adalah institusi Rahmah yang seharusnya menjadi lambang kasih sayang, toleransi, hikmah dan keterangkuman seperti yang ditekankan dalam semangat Malaysia Madani,” katanya.
Menurut beliau, Jakim menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menggesa agar isu itu ditangani dengan hikmah dan penuh kebijaksanaan.
Tambahnya, masjid dan surau bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, tetapi juga menjadi pusat pembangunan komuniti dan perpaduan umat Islam.
“Jakim komited menyuburkan nilai Masjid Rahmah melalui pendidikan, advokasi serta libat urus berterusan bersama pengurusan masjid, institusi agama negeri dan masyarakat,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru agar pengurusan rumah ibadah di seluruh negara sentiasa mengutamakan akhlak Islamiah dalam menyantuni jemaah dan pengunjung agar suasana masjid terus kekal sebagai tempat yang mendamaikan serta menginsafkan – KOSMO! ONLINE.
The post Jakim pandang serius insiden jemaah dihalau dari surau appeared first on Kosmo Digital.