Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Terkejut rakan seperjuangan ditahan pihak berkuasa Laos atas dakwaan cubaan menyeludup dadah, penyanyi rap Kidd Santhe hanya mendoakan yang terbaik buat temannya itu.
Kidd berkata, dia tidak menyangka penyanyi rap tersebut berdepan tuduhan itu kerana sepanjang persahabatan mereka, individu berkenaan dikenali sebagai seorang komposer berkredibiliti.
“Sejujurnya saya terkejut dan sedih dengan nasib yang menimpanya sebaik membaca laporan berita mengenainya bersama dua lagi individu lain.
“Memang susah nak percaya tetapi kes ini masih belum diputuskan dan sebagai kawan saya menyokong keluarganya, pihak pengurusan dan seluruh kru. Mereka boleh hubungi saya jika memerlukan bantuan.
“Individu itu antara yang saya hormati kerana etika kerjanya. Bayangkan, dia mampu merakam banyak lagu dalam sehari. Dia mempunyai katalog lagu yang besar,” katanya ketika pelancaran lagu baharunya, Ambani Money, baru-baru ini.
Kongsi Kidd, mereka bukan sahaja pernah berkolaborasi menerusi projek video muzik Penjahat, malah turut merancang untuk menghasilkan sebuah lagu bersama-sama tahun ini.
“Sebelum itu kami sudah berbincang melalui mesej WhatsApp dan sepatutnya saya pergi ke studionya untuk proses rakaman.
“Tetapi ‘benda’ dah jadi. Apa yang boleh saya lakukan cuma harapkan perkara baik-baik untuknya dan keluarga rakan saya itu,” ujarnya
Penyanyi berusia 26 tahun itu juga enggan jatuh hukum melulu, sebaliknya percaya pasti ada penyebab tertentu yang mengakibatkan situasi tersebut.
“Kita tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Saya sendiri tidak mengetahui sebarang butiran terperinci sekali gus tidak mahu memburukkan keadaan dengan mengulas lebih lanjut,” katanya.
Sementara itu, mengenai lagu Ambani Money yang diinspirasikan daripada kisah jutawan India, akuinya karya tersebut umpama penyuntik semangat mengejar impian.
“Ini langkah awal saya menerbitkan album berjudul Mr. Crorepat iaitu era yang memperlihatkan peralihan muzik saya daripada rentak rap Melayu kepada gabungan hip-hop dengan pengaruh muzik berbangsa India serta gabungan kata-kata dalam pelbagai bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Melayu, Tamil, Punjabi dan Hindi.
“Lagu ini menggabungkan rentak dram hip-hop era 2000, petikan tali tumbi dan elemen Punjabi yang rancak membangkitkan keyakinan dan mengangkat elemen kebudayaan,” katanya mengenai lagu yang dihasilkan bersama Wongie.
Terdahulu, seorang penyanyi rap tempatan antara tiga rakyat Malaysia dipercayai ditahan pihak berkuasa Laos atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis ganja ke Jerman.
Berdasarkan foto dikongsi media Laos dipercayai salah seorang suspek itu merupakan anggota kumpulan rap yang berasal dari Johor Bahru, Johor.
Kesemua suspek ditahan sejak 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay menerusi operasi yang dilakukan pegawai kastam dan pihak keselamatan selepas mendapati tiga individu terbabit menimbulkan kecurigaan semasa prosedur pemeriksaan dijalankan. – KOSMO! ONLINE
Hasil pemeriksaan terhadap enam beg bagasi milik suspek, pihak berkuasa menemui 103 bungkusan ganja yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan dengan anggaran berat kira-kira 86 kg. – KOSMO! ONLINE
The post Rakan artis didakwa seludup dadah, Kidd Santhe enggan jatuh hukum appeared first on Kosmo Digital.