Auto Added by WPeMatico

![]()
LOS ANGELES: Rakaman kamera pengawasan yang mengejutkan menunjukkan sudut baharu sebuah helikopter saluran berita NBC menjunam ke tanah, mengorbankan tiga orang di Los Angeles, lapor aklhbar The Sun hari ini.
Dalam rakaman itu, helikopter itu menjunam di belakang sebuah bangunan dan beberapa pokok, dengan serpihan berterbangan ke udara.
Beberapa saat kemudian, api dan asap hitam tebal kelihatan menjulang dari lokasi nahas.
Bekas Penyiasat Keselamatan Udara Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat.(NTSB), Jeff Guzzetti, memberitahu NBC bahawa sudut baharu rakaman nahas itu akan menjadi bukti penting bagi pihak yang menyiasat kejadian berkenaan.
“Saya melihat kadar penurunan yang sangat tinggi dan perkara itu akan membantu penyiasat menentukan sama ada ketinggian serta kelajuan udara mencukupi untuk melakukan teknik kecemasan bagi membolehkan helikopter mendarat dengan selamat,” katanya.
“Saya fikir kegagalan enjin akan menjadi fokus utama dalam siasatan NTSB, tetapi persoalannya kemudian ialah mengapa enjin itu gagal?” solanya.
Helikopter itu membawa seorang wartawan foto dan juruterbang dilaporkan terkorban selepas helikopter itu terhempas semasa membuat liputan mengenai kemalangan maut di kawasan pinggir bandar itu.
Stesen penyiaran berkenaan mengesahkan bahawa mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut ialah wartawan foto Eliana Moreno dan juruterbang George Marciniw pada Selasa lalu.
Semasa kejadian, helikopter NewsChopper4 milik NBC berada di ruang udara Chatsworth bagi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) dan bas bandar yang mengorbankan dua nyawa serta mencerakan enam yang lain.
Selain dua petugas media berkenaan, pihak berkuasa bomba mengesahkan seorang lagi mangsa yang berada di darat turut terkorban dalam nahas helikopter itu.
Pegawai Bomba, Kapten Branden Silverman mengesahkan status mangsa ketiga di lokasi kejadian.
Pengesahan mengenai tragedi itu dibuat secara langsung di udara oleh pembaca berita veteran NBC4, Colleen Williams dalam nada sebak selepas stesen berkenaan terputus hubungan dengan anggotanya.
“Kami tahu ia sebuah helikopter berita. Kami telah terputus hubungan dengan rakan-rakan di luar sana dan kami baru sahaja menerima pengesahan rasmi,” kata Williams semasa penyiaran tersebut.
Insiden itu mencetuskan rasa simpati mendalam dalam kalangan pengamal media tempatan yang menyifatkan kedua-dua mangsa sebagai rakan sejawat yang amat dihargai.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass turut mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan kesedihannya berhubung insiden berkembar yang menimpa bandar berkenaan.
“Saya benar-benar sedih dan terkesan dengan kehilangan nyawa di Chatsworth. Ingatan dan doa saya bersama keluarga serta insan tersayang kepada mereka yang terkorban dalam kemalangan bas dan nahas helikopter ini,” kata Bass menerusi hantaran di platform X.
Jurucakap Bomba memaklumkan helikopter terbabit terhempas di antara dua bangunan komersial sebelum jam 7 malam waktu tempatan, sekali gus menyebabkan kebakaran yang merebak ke atas empat buah kenderaan dan dua kontena simpanan.
Lebih 70 anggota bomba telah dikerah ke lokasi bagi mengawal kebakaran dan menjalankan operasi menyelamat. – AGENSI
The post Wartawan bersama juruterbang maut helikopter terhempas ketika buat liputan nahas bas appeared first on Utusan Malaysia.
