Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Kisah menyentuh hati tentang seorang wanita warga emas yang berdiri di tepi jalan sambil cuba menahan kenderaan untuk ke farmasi membeli ubat meraih perhatian ramai.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna TikTok, @Byss, menceritakan bahawa wanita berkenaan ingin ke farmasi namun tiada sebuah pun kenderaan berhenti meskipun dia berdiri lama sambil menahan kereta.
Akhirnya, pemilik video yang melalui kawasan itu memberhentikan kenderaan dan membantu membawanya ke farmasi.
Menurut individu berkenaan, wanita itu menghulurkan sejumlah wang sebagai tanda terima kasih, namun mereka menolak dan membawanya tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Dia hulurkan duit dan minta tolong hantarkan ke farmasi untuk beli ubat. Tetapi kami tak sanggup ambil duit dia, kami suruh dia naik sahaja kereta.
“Sepanjang perjalanan, mak cik itu cerita dia tidak mempunyai anak dan suaminya pula sudah meninggal dunia. Kalau kami tak berhenti tadi, mungkin dia terpaksa berjalan kaki untuk beli ubat,” katanya.
Tambahnya, wanita itu berkali-kali mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan kepadanya semasa dihantar pulang ke rumah.
Malah, mereka turut memberikan nombor telefon kepada warga emas tersebut sekiranya dia memerlukan bantuan pada masa akan datang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tersentuh dengan tindakan murni itu.
“Walaupun tidak sama bangsa, hatinya besar nak tolong. Terima kasih orang baik,” kata Rachelle.
“Masih ada harapan untuk kemanusiaan apabila dunia mempunyai orang seperti kamu,” komen Sonia.
“Terima kasih orang baik, moga dimurahkan rezeki,” kata Nor Aswana. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kalau kami tak berhenti, dia terpaksa jalan kaki’ appeared first on Kosmo Digital.