Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Lebih daripada 2,000 pelajar alumni, rakan industri dan komuniti telah berkunjung ke program Hari Terbuka TVET Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS)-Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua baru-baru ini.
Ini adalah usaha berterusan YRMS yang berada di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memperkasa golongan belia melalui TVET ke arah masa depan yang berkemahiran dan berdaya saing.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam ucapan pada majlis pelancaran program tersebut berkata, YRMS kekal komited membantu golongan muda membina impian dan masa depan yang mampan.
“YRMS memainkan peranan penting dalam membantu golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa atau agama, agar mereka dapat membina kehidupan lebih baik melalui laluan kemahiran.
“Fokus kami bukan sekadar pendidikan teknikal, tetapi juga pembangunan sahsiah dan potensi diri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Sejak penubuhannya, YRMS telah memberi manfaat kepada lebih 7,600 belia Malaysia berumur 16 hingga 30 tahun daripada latar belakang B40 melalui pelbagai program latihan kemahiran, pembangunan diri dan kerjaya.

Hari Terbuka YRMS TVET padat dengan pelbagai aktiviti seperti Bengkel Eksplorasi Diri (Self-Discovery Workshop) dan juga Kaunseling Kerjaya dan Kelas Pengurusan Kewangan.
Selain itu, pada program berkenaan, Anugerah YRMS 2025 telah mengiktiraf pelajar terbaik dalam kategori kecemerlangan akademik, pencapaian latihan, penglibatan komuniti, Ikon Pelajar YRMS dan Kolej Paling Suportif.
Turut memeriahkan acara adalah penyampaian hadiah bagi Keputusan Pertandingan TVET 2025 yang melibatkan 10 institusi pendidikan yang terdiri daripada lima sekolah dan lima kolej.
Semua peserta menerima penghargaan atas usaha dan inovasi yang dipertandingkan.
Bagi kategori pelajar sekolah, SMK Jugra dinobatkan sebagai juara, tempat kedua dimenangi oleh SMK Bandar Seri Putera dan SMK Bandar Puchong Jaya jatuh di tempat ketiga manakala tempat saguhati adalah SMK Seksyen 27.
Bagi kategori pelajar kolej pula, johan pertandingan adalah IKBN Kemasik, naib johan adalah IKBN Peretak manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kolej Komuniti Kuala Langat Cawangan Sepang, selain tempat saguhati diberikan kepada IKTBN Kuala Perlis. -KOSMO! ONLINE
The post Hari Terbuka TVET YRMS teroka potensi kemahiran golongan belia appeared first on Kosmo Digital.