Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seramai 15,000 penonton dijangka membanjiri Helipad, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi festival muzik elektronik bertaraf dunia, HardTech (Hardmission dan Techmission) serta Transmission, bersempena dengan penganjuran Petronas Grand Prix of Malaysia 2025.
Acara pra-parti ini dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Oktober 2025 di lokasi ikonik Helipad dengan SIC sebagai rakan strategik.
Menurut Pengarah Urusan Hi:Five Entertainment, Sean Pereira, acara mega tersebut bukan sekadar festival muzik namun turut memacu sektor pelancongan tempatan.
“Acara ini adalah sambutan komuniti, budaya dan masa depan muzik elektronik di Malaysia. Dengan gabungan MotoGP, HardTech dan Transmission, Litar Antarabangsa Sepang bakal bertukar menjadi pusat denyutan bunyi, cahaya dan semangat bersama.
“Lebih daripada sekadar hiburan, acara ini akan menghimpunkan barisan DJ bertaraf dunia dengan persembahan penuh bertenaga dan memukau,” katanya.
Penganjurannya bertepatan dengan hujung minggu MotoGP menjadikan acara ini satu peristiwa bersejarah bagi industri muzik elektronik negara.
HardTech yang merangkumi Hardmission dan Techmission merupakan kuasa baharu dalam dunia muzik elektronik, terkenal dengan irama bertenaga dan persembahan visual yang imersif.
Buat julung kali ke Malaysia, HardTech menjanjikan pengalaman rave futuristik yang menggabungkan rekaan bunyi termaju dengan seni visual memukau, memecahkan batasan antara muzik, teknologi dan budaya.
Transmission pula adalah jenama trance ikonik dunia yang terkenal dengan produksi berskala besar, tema sinematik dan gabungan cahaya, laser serta bunyi yang membuai emosi penonton.
Berasal dari Eropah, Transmission kini berkembang menjadi fenomena global, memikat pengunjung di pelbagai benua dan kini, kehadirannya di Malaysia menandakan babak baharu dalam sejarah muzik dance negara.
Kedua-dua festival ini akan membawa penonton menyelami sebuah perjalanan muzik yang mengasyikkan, daripada melodi trance yang mengangkat semangat hinggalah rentak hardstyle yang memacu tenaga tanpa henti.
Antara DJ yang bakal tampil membuat persembahan ialah Ben Nicky, Dexson, Subzero Project, TRYM, Alexis Grace, Tweeka Core, Space 92 dan Mondy.
Tiket untuk kedua-dua hari festival boleh dibeli secara dalam talian di TICKETMELON.COM dan MEGATIX.ASIA. - KOSMO! ONLINE
The post Lebih 15,000 dijangka banjiri festival muzik HardTech & Transmission appeared first on Kosmo Digital.