Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Bergaduh suami atau isteri dan hangat-hangat tahi ayam menjadi antara pengoperasian MyKiosk hambar di sekitar Selangor.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, penjaja yang telah diberikan peluang berniaga sepatutnya memberikan komitmen tinggi selaras dengan matlamat MyKiosk bagi membantu golongan B40 seterusnya membasmi kemiskinan bandar.
“Waktu tembual (jadi peniaga MyKiosk) cakap amat teruja. Bila sudah bagi rupanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Keterujaannya hanya bertahan lima minit. Ada yang gaduh dengan isteri, suami kemudian tak berniaga dan ada isu seperti di lapangan.
“Jadi, pengisian MyKiosk itu jadi hambar. Justeru, tempoh tiga bulan juga diberikan kepada peniaga-peniaga ini sebelum ditukarkan kepada orang lain,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Terdahulu, Dr. Afif Bahardin dalam soalan tambahannya ingin mengetahui langkah boleh dilakukan bagi memastikan pengoperasian MyKiosk dapat dimanfaat sepenuhnya penjaja.
Suee Lim bagaimanapun meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor melakukan pemantauan dan siasatan terbaik bagi penentuan sesuatu lokasi MyKiosk.
“Kalau letak MyKiosk biar teratur dan tempat dikenalpasti sesuai. Sekiranya tidak, kita bagi tempoh tiga bulan senadainya tidak boleh diisi penjaja atau lokasi itu tidak laris sehingga perniagaan hambar, kita akan letak di tempat baharu.
“MyKiosk ini punya ‘semangat hijrah’ sebab boleh dipindahkan ke tempat lain bukan seperti gerai kalau tiada sambutan adalah susah. Jadi, kita alukan cadangan daripada mana-mana Yang Berhormat dan komuniti berkenaannya (lokasi peletakkan MyKiosk),” ujarnya.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu, pihaknya melalui PBT akan mempertimbangkan mengenai isu cagaran antara RM2,000 hingga RM3,000 yang menyulitkan para peniaga.
“Tetapi kena ada sedikit komitmen kerana kita perlukan kerjasama dua pihak (peniaga dan PBT). Kalau tiada cagaran, peniaga ini tak mahu hargai serta biarkan rosak dan hancur,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Suee Lim berkata, terdapat sebanyak 1,028 MyKiosk dan paling tinggi adalah di DUN Taman Medan dengan 123 MyKiosk.
“Kos pembinaannya di semua PBT Selangor adalah RM20.33juta. Daripada jumlah tersebut, RM19.5juta dibiayai melalui peruntukkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala bakinya sebanyak RM822,211 ditanggung PBT bagi kerja penyediaan tapak.
“Secara purata, kos pembinaan bagi seunit MyKiosk adalah sebanyak RM19,785.80 merangkumi kos struktur dan penyediaan tapak mengikut kesesuaian di lokasi,” katanya. – KOSMO!ONLINE
The post DUN Selangor: Gaduh suami isteri, hangat tahi ayam punca MyKiosk hambar appeared first on Kosmo Digital.