Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Sering menjadi mangsa kecaman netizen, pelakon Scha Elinnea menyifatkan platform media sosial hari ini semakin membimbangkan sehingga menjadi ruang untuk mengkritik individu lain sebagai bahan hiburan diri sendiri.
Menurut Scha atau nama lengkapnya, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, lebih mengecewakan apabila kritikan sebegitu dilemparkan tanpa mengetahui cerita sebenar.
“Internet kini sudah menjadi tempat di mana orang berasa berhak untuk menghakimi individu lain termasuk rupa paras, kisah silam dan pilihan hidup tanpa mengetahui kisah sebenar.
“Berhentilah menjadikan penampilan atau kehidupan orang lain sebagai hiburan kalian,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tambah Scha, dia juga meminta orang ramai berhenti menghancurkan kehidupan orang lain dalam dunia maya kerana bimbang kesihatan mental mangsa akan terjejas.
“Berhentilah menghancurkan orang lain hanya untuk membuat diri sendiri rasa lebih baik.
“Kalian tidak tahu betapa beratnya kata-kata yang dilemparkan dan seberapa dalam boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.
“Jika kalian tidak mampu berbuat baik, diam sahaja. Diam itu mungkin dapat menyelamatkan nyawa,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut mendapat respons positif netizen yang bersetuju dan berharap sikap suka menjatuhkan orang lain tidak terus berlaku.
Sebelum ini, Scha sering menerima kritikan ramai apabila didakwa ‘mengubah’ dengan melakukan pembedahan kosmetik seperti memancungkan bahagian hidung dan menjadikan bibirnya lebih mungil.
Sebelum itu, sekitar tahun 2022 juga dia mendedahkan pernah bergelut dengan masalah kesihatan mental dan didiagnosis sebagai penghidap skizofrenia bertemu dengan pakar psikiatri secara berkala setiap bulan.
Dia juga pernah memberitahu enggan membaca setiap komen demi menjaga kesihatan mental.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Berhentilah hancurkan orang lain untuk rasa lebih baik’ appeared first on Kosmo Digital.