Auto Added by WPeMatico

Ikan golden mahseer terkenal dengan saiznya yang gadang, namun kami masih belum berjaya menggodanya, walaupun sudah beberapa kali kelihatan ia mengejar gewang. Akhirnya, Akhmar memecah kebuntuan di Budhiganga.
Kami teruskan berhanyut bot menempuh banyak jeram sehingga tiba di Maharudra, yang terbentuk daripada apitan bukit batu tinggi, sekali gus menjadikan kawasan ini sangat dalam dan airnya seakan tidak bergerak.
Menariknya, ia dihiasi titi gantung untuk laluan orang kampung.
Menurut Devraj, lubuk ini pernah merekodkan golden mahseer saiz 29 kilogram (kg) dengan sesudu. Mengujakan sekali, Maharudra juga terkenal dengan ikan goonch (kenerak) saiz ‘raksasa. Kira-kira 200 meter ke hilir
Maharudra terdapat pertemuan kuala Sungai Budhiganga, di situlah kami berhenti dan memasang kem.
Kami mengambil keputusan untuk berkhemah di sini selama dua malam kerana lokasinya begitu strategik dan meyakinkan, lebih-lebih lagi apabila ternampak olak ikan golden mahseer saiz besar bermain air di hadapan kem.
Keputusan yang sangat berbaloi kerana kawasan ini ternyata produktif buat kami dengan rekod 11 ekor golden mahseer dan yang terbesar mencecah berat 15kg.
Golden mahseer 15kg
Babak pertarungan Akhmar dengan ‘kelah emas’ 33 paun (15 kg) paling menggigilkan lutut. Ketika itu, dia sedang mengilat seorang diri, namun adegan cemas itu dapat dirakam sepenuhnya oleh action cam di dadanya.
Terpegun kami menonton semula video tersebut, tatkala sesudu Smith Buch Special 24 gram (g) yang dilontar dengan joran Rentaka Move 5 dan baitcaster Shimano Scorpion 301 di ekor lubuk Maharudra digonggong, lantas dihenyak ‘gorgon’ tanpa ampun.
Pecutan padunya ke jeram di hilir memaksa Akhmar melompat-lompat di atas batu-batu sungai mengikut asakannya agar tali Rentaka Tempur 50lb tidak bergeser batuan jeram. Kalau tersalah langkah, silap-silap boleh tersembam berdarah kepala terhentak batu.

Pertarungan yang sengit itu berpihak jua kepada Akhmar.
Ikan akhirnya mengalah dan terlentang keletihan setelah memecut sejauh lebih 100 meter dari lokasi awal sambaran.
Bergemalah kuala Budhiganga dengan jeritan Akhmar dan sorakan kami penuh kegembiraan sambil memeluk ‘trofi’ yang tegap dan sasa itu. Kagum kami menyaksikan sendiri keanggunan ikan kelah bersisik emas yang gadang itu. Setelah puas bergambar, ikan itu selamat dilepaskan semula.
Perjalanan masih panjang
Pengalaman penuh untuk ekspedisi sembilan hari ini tentunya tidak dapat saya coretkan kesemuanya di sini.
Dipendekkan cerita, kami berpindah ke lubuk lain setiap hari. Akhmar dan Fahanif paling banyak merekodkan golden mahseer dengan sesudu (spoon) masing-masing.
Seperkara yang mengejutkan, malah melegakan, setiap ceruk campsite di Seti kecuali di Maharudra ada liputan talian untuk komunikasi telefon bimbit.
Malah, sesetengah campsite boleh dapat line 4G untuk akses Facebook atau TikTok.
Selain golden mahseer, ada satu lagi monster yang merajai sungai ini iaitu ikan goonch (kenerak). Rekod goonch di Seti mencecah lebih 80kg. Namun untuk memancingnya dengan gewang amat sukar.
Cara terbaik, guna umpan ikan hidup pada waktu malam dengan melabuhkannya rapat ke siring dinding lubuk batu yang dalam. Kami hanya ada satu peluang untuk mencubanya di campsite kelima, namun ‘kumpau’.
Satu kejadian menarik berlaku sewaktu berhanyut ke kem terakhir di Sungai Seti sebelum bertemu Sungai Karnali. Seekor golden mahseer saiz kasar memberi tentangan sengit kepada Akashah dari atas bot yang sedang terumbang-ambing di jeram yang deras.

Ikan berat 8.2kg itu selamat didaratkan di bawah jeram dan dilepaskan semula.
Beberapa ketika kemudian, sesudu Dr. Salimi pula direnggut golden mahseer yang lagi besar dan panjang.
Anggaran mata saya yang satu bot dengannya, ikan itu pasti mencecah saiz double digit kerana dapat dilihat sebaik ia timbul sekejap, sebelum memecut semula dan terus rabut.
Namun, rezekinya tetap tersurat. Tidak sampai 10 minit kemudian, sesudunya dibaham lagi di kepala jeram dan akhirnya menganugerahkan golden mahseer pertama buat dirinya pada hari keenam.
Sungai Karnali
Walaupun jarak Sungai Seti sepanjang 60km ini tidak diganggu manusia, namun ‘maharaja sungai’ yang terkenal dengan sifat sensitifnya bukanlah mudah dijebak dengan gewang.
Teknik paling selamat ialah gunakan sesudu sahaja dan biarkan ia tenggelam beberapa saat sebelum dikarau. Ini kerana, ikan itu didapati gemar menyambar di paras paling bawah berhampiran dasar.
Tetapi awas, jangan biar lama sangat spoon tenggelam, bahaya jika tersangkut batu ketika bot sedang hanyut di air deras.
Acara mengilat secara berhanyut lebih mencabar apabila aliran Sungai Seti berakhir, dan kami mula menerobos masuk ke Sungai Karnali yang lebih besar dan terdapat beberapa kampung di sepanjang tebingnya.
Air Sungai Karnali yang kurang jernih juga merencatkan semangat kami untuk mengilat.
Justeru, kami lebih fokus untuk berdayung sambil melayan perasaan menikmati panorama indah di pedalaman Nepal.
Bayangkan, pada dua hari terakhir ekspedisi ini di Sungai Karnali, kami perlu tamatkan hanyutan dan dayungan sehingga ke end point di Chisapani sejauh hampir 100km.
Lebih memeritkan, aliran Sungai Karnali lebih perlahan dan muka buminya yang lapang kerap diterjah tiupan angin kencang, sekali gus menyebabkan lebih tenaga diperlukan secara bersama-sama untuk berdayung melawan angin padu.
The post ‘Maharaja sungai’ di Himalaya akhirnya muncul appeared first on Kosmo Digital.



