Auto Added by WPeMatico

LONDON – Reputasi hebat Liverpool yang menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu tidak menghadirkan rasa gerun buat Crystal Palace yang sedang bersiap untuk menghadapi aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley malam ini.
Pengurus The Eagles, Oliver Glasner sudah pun memberikan mesej jelas kepada The Reds bahawa anak-anak buahnya sentiasa bercita-cita untuk mencipta kejutan besar dalam saingan bola sepak di England.
Glasner mengakui bahawa beliau tidak sesekali akan mengambil mudah dengan perlawanan kali ini dan bertegas akan melakukan apa saja untuk melunaskan harapan penyokong bagi melihat satu lagi kejutan mampu dicipta.
“Sudah pasti Liverpool menjadi pasukan pilihan dalam perlawanan ini. Mereka pasukan juara Liga Perdana Inggeris dan hanya akan menentang pasukan di tangga ke-12.
“Mereka cukup aktif pada jendela perpindahan kali ini dan menyerlahkan kekuatan yang ada. Namun, sebelum ini Manchester City juga adalah pasukan pilihan dalam saingan Piala FA, tetapi kami berjaya memenangi perlawanan itu.
“Jadi, kami tetap ada peluang, itulah mentaliti yang kami bawa untuk hadapi perlawanan kali ini. Perkara paling hebat adalah bermain di depan 40,000 ke 45,000 penyokong dan tanggungjawab kami untuk laksanakan tugas dengan baik,” katanya.
Dalam masa sama, Glasner kekal dengan pendiriannya untuk tidak mahu mengambil peduli tanggapan banyak pihak yang mengatakan trofi ini bukan piala utama sebaliknya impian Palace kekal sama iaitu memenangi perlawanan.
“Kami mengambil bahagian adalah untuk meraih kemenangan dan semua orang juga perlu ada mentaliti untuk menang. Saya harap ini akan kekal menjadi perkara yang kami mahu lakukan.
“Apabila melangkah ke Wembley, pemain kena bersedia dan berasa yakin untuk melakukan tugas mereka, namun perlu diingat, ia tidak bermakna kami akan sentiasa menang. Tiada kepastian kami boleh raih kemenangan, tetapi mereka perlu mencuba untuk mendapatkannya,” katanya. – AGENSI
The post Palace pasang impian rangkul trofi kedua appeared first on Kosmo Digital.