Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Persembahan dan gimik yang memaparkan kekejaman tentera Israel terhadap pejuang Palestin pada Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza di Sungai Kelantan di sini kelmarin tidak wajar disalah tafsir.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, lakonan berkenaan bertujuan menggambarkan kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dan akhirnya berjaya dikalahkan oleh pejuang Palestin apabila bot berkenaan terbakar.
Menurutnya, bagaimanapun, isu tersebut mula timbul apabila sebahagian daripada rakaman menunjukkan bot mengibarkan bendera Israel sekali gus menimbulkan kekeliruan dan kecaman di media sosial.
“Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa ia adalah lakonan kekejaman tentera Israel dan program itu adalah untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan solidariti bersama Global Sumud Flotilla (GSF).
“Pelbagai hujah diberikan, tetapi dengan meletakkan tajuk ‘bendera Israel berkibar megah di bumi Serambi Mekah’ itu sudah melampau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang peka dan sensitif terhadap isu Palestin, namun menasihatkan agar masyarakat tidak terlalu cepat menghukum tanpa mengetahui keseluruhan cerita.
“Oleh kerana sentimen anti-Israel sangat tinggi ketika ini, semua pihak perlu lebih berhati-hati begitu juga dalam membuat ulasan di media sosial kerana kita mungkin tidak mengetahui keseluruhan yang berlaku. Jangan disebabkan lakonan itu, usaha besar yang bertujuan baik tidak dihargai, sebaliknya dikeji,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan salah tafsir gimik kibar bendera Israel – TMB Kelantan appeared first on Kosmo Digital.