Auto Added by WPeMatico


LUMUT – Peningkatan kemahiran dalam perkhidmatan urutan terapi yang ditawarkan membuka haluan bagi seorang wanita dari Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan dekat sini untuk meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
Menurut Nor Aswana Ismail, 41, dia yang sebelum ini meraih sekitar RM2,000 sebulan berasa gembira dengan rezeki berkenaan kerana ia sekali gus meringankan beban kewangan ditanggung keluarga.
Penyertaannya dalam program One Stop Centre (OSC): Sejahtera Sosial (Keluarga Angkat) yang dikelolakan GiatMara Beruas selaku rakan strategik OSC dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Manjung itu menjadi pencetus untuk meningkatkan pendapatannya.
“Apabila kita berkecimpung dalam bidang ini, sudah tentulah keberkesanan urutan itu dirasakan sendiri oleh pelanggan. Jadi teknik yang betul perlu dimiliki seseorang juru terapi urutan.
“Pendedahan tentang industri kesihatan dan kecantikan oleh tenaga pengajar berkemahiran dari Aora Spa & Wellness Manjung berjaya saya manfaatkan dalam kerja seharian,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Nor Aswana yang berpengalaman dalam bidang penjagaan warga emas berkata, teknik urutan dipelajari dari kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) itu turut dimanfaatkannya untuk golongan berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Nur Shafiekha Mansor, 32 berkata, dia juga kini mampu meraih sehingga RM3,000 sebulan berbanding sekitar RM2,000 sebelum menyertai kursus urutan terapi berkenaan.
Katanya, dia berasa gembira dengan peningkatan pendapatan berkenaan kerana ia tidak hanya meningkatkan ekonomi keluarga, bahkan turut digunakan untuk membeli sebuah kereta.
Dia yang memulakan karier dalam bidang urutan pada tahun lalu memiliki impian untuk bergelar majikan dengan menubuhkan spa milik sendiri satu hari nanti.
“Saya memiliki impian untuk membuka spa sendiri, jadi peningkatan kemahiran merupakan antara langkah perlu diambil bagi memajukan diri serta perkhidmatan ditawarkan.
“Bukan itu sahaja, program OSC: Sejahtera Sosial (Keluarga Angkat) ini juga membuka jalan bagi peserta untuk memiliki sijil bahkan diploma kemahiran dalam bidang ini kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengurus GiatMara Beruas, Fadzilah Abu Bakar berkata, seramai 10 peserta golongan B40 dari daerah Manjung terpilih untuk menyertai program berkenaan.
“Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan pendapatan mereka selain memberi pendedahan tentang industri dan meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing,” ujarnya.
The post Terapi urutan bantu Nor Aswana tambah pendapatan keluarga appeared first on Kosmo Digital.
