Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500, dua tahun lalu.
Tertuduh, Lee Kau Lik, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah urusan sebuah syarikat telah secara rasuah memberikan satu suapan wang tunai berjumlah RM2,000 secara pindahan dalam talian kepada seorang lelaki sebagai upah membantu syarikatnya mendapatkan projek penyewaan genset bernilai RM166,500.
Kesalahan itu dilakukan di Public Bank Cawangan Tengkera (Jalan Ong Kim Wee) dalam daerah Melaka Tengah pada 5 November 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal kesalahan itu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Ia mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan dia merupakan pencari nafkah tunggal dan menyara isteri serta anak, selain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan tarikh 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE
The post Pengarah sogok RM2,000 upah projek genset RM166,500 appeared first on Kosmo Digital.