Auto Added by WPeMatico

KLANG – Kelicikan empat sahabat dikenali Geng Along Jep mencuri kenderaan bagi kegunaan harian sejak hujung tahun lalu tumpas selepas mereka dicekup polis di sekitar daerah ini, bulan lalu.
Kesemua lelaki tempatan berusia 25 hingga 40 tahun itu menyasarkan mangsa yang meninggalkan kenderaan dengan kunci dan enjin tidak dimatikan di tepi jalan.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, empat suspek yang bekerja sendiri itu ditahan secara berasingan menerusi Op Lejang antara 10 hingga 30 April lalu.
Katanya, siasatan mendapati kumpulan itu aktif mencuri kenderaan di sekitar Klang Selatan, Shah Alam, Kuala Selangor dan Klang Utara.
“Mereka menyasarkan kereta lama seperti Perodua Kancil, Proton Iswara dan Proton Iriz manakala motosikal pula seperti Honda EX5 serta Yamaha Y15.
“Semua kereta dan motosikal yang dicuri itu tidak dijual suspek sebaliknya digunakan sendiri dengan hanya menukar nombor plat pendaftaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan bersama 12 kenderaan masing-masing enam kereta dan motosikal termasuk satu rangka.
Tambah beliau, semakan mendapati semua suspek secara keseluruhannya memiliki 30 rekod jenayah lampau dan 22 kes dadah.
“Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine dan diserahkan kepada IPD Klang Utara bagi siasatan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Penangkapan mereka berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan sembilan kes melibatkan kenderaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Geng Along Jep tumpas appeared first on Kosmo Digital.