Auto Added by WPeMatico
PAT ketuai misi rundingan diplomatik ke Thailand dan Kemboja

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar, telah mengetuai delegasi diplomatik ke Thailand dan Kemboja bagi memudahkan perbincangan antara kedua-dua pihak susulan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan mereka.
Misi tersebut susulan Mesyuarat Khas yang dianjurkan oleh Malaysia, di mana Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa mulai pukul 12 tengah malam pada 28 Julai.
Dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, kedua-dua negara menyatakan komitmen mereka untuk menghentikan semua bentuk permusuhan sebagai usaha membuka ruang kepada rundingan damai serantau yang lebih meluas.
Bagaimanapun, beberapa insiden pertempuran kecil dilaporkan berlaku sejurus selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa Komander Serantau kedua-dua negara telah bermesyuarat pada pukul 10 pagi, hari ini.
Jelasnya, mesyuarat berkenaan mencapai persetujuan baharu untuk mengekalkan gencatan senjata, melarang serangan terhadap orang awam, menghentikan penambahan kekuatan tentera dan mengehadkan pergerakan ketenteraan.
“Mesyuarat itu juga menyaksikan persetujuan untuk memudahkan pemulangan anggota yang tercedera dan terkorban, serta penubuhan pasukan penyelarasan yang terdiri daripada empat wakil dari setiap negara.
“Persetujuan yang diperbaharui ini akan menjadi asas kepada dialog selanjutnya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadual berlangsung pada 4 Ogos ini,” ujarnya.
Delegasi Malaysia dijangka akan meneruskan misi diplomatik ke Phnom Penh bagi mengadakan rundingan lanjut bersama rakan sejawat dari Kemboja. – KOSMO! ONLINE
The post PAT ketuai misi rundingan diplomatik ke Thailand dan Kemboja appeared first on Kosmo Digital.