Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Demi memastikan lagu terbaharunya benar-benar mampu menyentuh hati pendengar, penyanyi, Nadeera Zaidi, mengakui melakukan beberapa rombakan terhadap single Cuba Jadi Aku sebelum berpuas hati untuk melancarkannya.
Menurut Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 33, lirik lagu tersebut dihasilkan daripada sebuah karangan panjang yang ditulis berdasarkan luahan hati serta pengalaman peribadinya.
“Masa nak hasilkan lirik itu, saya beritahu komposer, Hael Husaini, yang saya mahu buat lagu tentang apa yang dirasai oleh orang di sekeliling kita.
“Hael kemudian mencabar saya dengan berkata, ‘Nad, tulis karangan.’ Jadi saya pun menulis sebuah karangan yang sangat panjang. Saya curahkan segala cerita dan apa yang terbuku di hati sebelum menghantarnya kepada dia.
“Daripada karangan itu, Hael dan Iqie Hugh mengolahnya menjadi lirik lagu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada sidang media lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 di Istana Budaya, baru-baru ini.
Walaupun peminat terpaksa menunggu agak lama untuk menikmati single solo terbaharunya selepas kejayaan Bukan Lagi Kita , juara Big Stage 2023 itu menjelaskan dia sengaja menangguhkan pelancaran lagu tersebut kerana mahu memastikan hasil akhirnya benar-benar memenuhi standard yang diinginkan.
“Lagu ini sebenarnya sudah lama dirakam, iaitu sebelum Hari Raya tahun lalu. Tetapi apabila saya mendengarnya semula, saya rasa ada yang tidak kena. Saya rasa saya hanya sekadar menyanyi tanpa penghayatan dan jiwa.
“Saya tidak mahu sekadar melepaskan batuk di tangga atau melancarkan lagu baharu semata-mata. Sebab itu saya meminta kebenaran untuk merakamkannya semula, selain menukar susunan muzik, termasuk bahagian dram dan gitar, supaya hasilnya benar-benar memuaskan hati,” katanya.
Dalam pada itu, Nadeera turut memberi bayangan bahawa Cuba Jadi Aku hanyalah pembuka tirai kepada sebuah album penuh yang sedang diusahakannya dan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat.
Mengulas sambutan terhadap lagu tersebut, Nadeera meluahkan rasa syukur apabila Cuba Jadi Aku diterima baik oleh peminat sejak dilancarkan, malah semakin ramai pengguna media sosial menghasilkan versi nyanyian semula (cover) lagu itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan maklum balas yang diterima. Saya juga gembira apabila semakin ramai yang membuat cover lagu ini di media sosial. Sokongan seperti ini memberi semangat kepada saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya. -UTUSAN
The post Lirik Cuba Jadi Aku rupanya lahir daripada karangan Nadeera Zaini appeared first on Utusan Malaysia.
