Auto Added by WPeMatico

![]()
SKUAD Piala Thomas negara berdepan misi cukup getir bagi memastikan status sebagai juara Kumpulan B apabila bakal membuat perhitungan dengan Jepun pada aksi terakhir saingan peringkat kumpulan hari ini.
Menjelang aksi yang akan berlangsung di Forum Horsens, Denmark itu, kedua-dua pasukan masing-masing sudah mencatat dua kemenangan dalam aksi terdahulu ke atas wakil Eropah, England dan Finland.
Justeru, pertemuan hari ini bakal menjadi penentu pasukan manakah yang akan meneruskan kemaraan ke suku akhir selaku juara Kumpulan B, sekali gus mencerahkan peluang melangkah ke separuh akhir.
Perseorangan lelaki ketiga negara, Lee Zii Jia menyuarakan hasrat untuk membantu Malaysia mencatat kemenangan ke atas Jepun kerana menganggap satu kelebihan sekiranya mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan.
“Ya, sudah tentu kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu dan menjadi juara bagi saingan Kumpulan B. Mungkin ia akan menjadi satu kelebihan buat pasukan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Malam kelmarin, Malaysia mengesahkan kemaraan ke suku akhir apabila mencatat kemenangan kedua dengan membenam cabaran Finland 4-1, dua hari selepas terpaksa bergelut menewaskan England 3-2.
Pada pertemuan menentang Finland, Malaysia bermula kurang baik apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao tewas 17-21, 15-21 kepada Joakim Oldorff sebelum Justin Hoh kembali menyamakan kedudukan 1-1 dengan menewaskan Kalle Koljonen 21-14, 21-12.
Kemudian, Zii Jia menjadikan kedudukan 2-1 menerusi kemenangan 21-19, 21-10 ke atas Ananda Galvani Daniswara manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menewaskan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist 21-12, 21-15 dan Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menang 21-7, 21-14 ke atas Daniswara-Melleri.
“Saya sudah bermain banyak acara berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Sudirman. Selaku pemain senior, saya harap dapat membantu pemain-pemain lain seperti Jun Hao dan Justin,” ujar Zii Jia.
The post Piala Thomas: Sasar jadi juara kumpulan appeared first on Kosmo Digital.
