Auto Added by WPeMatico

![]()
ROMPIN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan negeri perlu memastikan perkhidmatan feri yang baik dan lancar untuk ke Pulau Tioman.
Titah baginda kerajaan negeri perlu bersedia menyediakan perkhidmatan feri yang baik meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar demi manfaat rakyat.
“Saya nyatakan tadi kepada Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan ISmail) supaya kalau boleh adakan feri yang boleh membawa pelancong dan masyarakat ke Pulau Tioman secara berhemah
“Mungkin kerajaan terpaksa mengeluarkan sumbangan yang besar tetapi ini adalah untuk memberi servis kepada mereka yg mempunyai bisnes di pulau tioman dan sekitar daerah ini.
“Kadangkala sebagai kerajaan kita tidak boleh memikirkan tentang keuntungan semata-mata tetapi memberi servis yang terbaik untuk masyarakat kita,”katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Rompin di Pantai Hiburan di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan sudahlah harga tiket feri naik dua kali dalam tempoh setahun, kini perkhidmatan feri yang sering lambat dikhuatiri memberi kesan kepada industri pelancongan di Pulau Tioman di sini.
Difahamkan, awal tahun ini harga feri pergi balik bagi pelancong tempatan adalah RM90, sebelum naik kepada RM120 dan terbaharu RM150.
Ketika ini harga sehala dari Jeti Teluk Gading ke Tioman adalah RM75 bagi rakyat Malaysia dewasa dan RM90 bagi warga asing dewasa, manakala penduduk Pulau Tioman adalah RM45.
Seorang pelancong tempatan, Mohd Asyraf Mohammad Razif,35, dilaporkan berkata, dia bersama empat ahli keluarganya ke Tioman baru-baru ini mengakui serik dan kecewa dengan perkhidmatan feri apabila terpaksa menunggu selama lapan jam akibat kelewatan feri.
Pemilik Salang Resort, Abdul Khalid Mohamad berkata, isu feri yang berlaku memberi kesan kepada industri pelancongan Pulau Tioman apabila ada antara pelancong membuat keputusan membatalkan tempahan chalet kerana tidak mahu datang ke pulau berkenaan.
Sementara itu Sultan Abdullah bertitah Rompin yang mempunyai pelbagai tarikan harus terus dimajukan setanding daerah-daerah lain di negeri ini.
Titah baginda tumpuan harus diberikan kepada daerah Rompin agar segala visi yang digariskan Sultan dan pemimpin terdahulu terhadap daerah Rompin akan dapat dicapai.
“Saya harap Rompin akan terus dimajukan ‘don’t make Rompin sleepy district’ biarlah Rompin menjadi satu tarikan yang lebih baik daripada daerah-daerah lain,” titahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Perkhidmatan feri Pulau Tioman dapat perhatian Sultan Pahang appeared first on Kosmo Online.
