Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Mahkamah Tinggi menolak permohonan penghakiman terus bernilai RM1 juta yang difailkan oleh syarikat pengeluar tudung, Obor Holding Sdn. Bhd terhadap Pink Fate Sdn. Bhd iaitu syarikat milik selebriti terkenal, Nur Fazura Sharifuddin.
Keputusan itu dibuat oleh hakim Shiba Rajah a/p Dorai Rajah, semalam dan kes ini akan dibawa ke sesi pembelaan bermerit yang menuntut perbicaraan secara lisan.
Sebelum ini permohonan berkenaan difailkan di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan penghakiman terus tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.
Obor Holding sebelum ini memfailkan saman terhadap syarikat Pink Fate, Fazfit Sdn. Bhd. serta Nur Fazura kerana didakwa berhutang sebanyak RM4.65 juta pada April 2025.
Bagaimanapun, permohonan penghakiman terus tidak dikemukakan terhadap Fazfit dan Nur Fazura.
Menurut peguam yang mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan, mahkamah menolak permohonan penghakiman terus kerana melihat keperluan membawa kes tersebut ke perbicaraan penuh.
“Selepas diteliti, mahkamah menolak permohonan pihak defendan untuk penghakiman terus dan akan diteruskan dengan pembelaan bermerit secara lisan.
“Mahkamah berpandangan bahawa kes ini bukan kes mudah (straightforward) yang jelas menunjukkan kewujudan hutang seperti didakwa plaintif.
“Sebaliknya, terdapat isu-isu fakta dan undang-undang yang memerlukan perbicaraan penuh.
“Mahkamah perlu perhalusi setiap butiran sebelum membuat keputusan sebab itu kes ini perlu dibicarakan dengan keterangan secara lisan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Fakhrul lagi, pihaknya masih menunggu tarikh untuk sesi perbicaraan penuh yang akan diberitahu kelak.- KOSMO! ONLINE
The post Mahkamah tolak permohonan saman RM1 juta syarikat terhadap Fazura appeared first on Kosmo Digital.