Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON – Lelaki disyaki mencetuskan kebakaran yang memusnahkan 800 struktur di Barat Laut Amerika Syarikat(AS), baru-baru ini mengaku merancang tindakannya dengan teliti dan memulakan 24 kebakaran lain sejak 2025, kata polis.
Suspek yang dikenali sebagai Aaron Farinacci dihadapkan ke mahkamah semalam. Dia pernah dipenjara hampir 10 tahun kerana membunuh bapanya, demikian menurut rekod mahkamah, sebelum dibebaskan pada 2020.
Farinacci, 37, ditahan awal minggu ini di sebuah hutan berhampiran bandar Spokane, negeri Washington, di mana lebih 65,000 orang terpaksa berpindah akibat tiga kebakaran besar.
Farinacci disyaki mencetuskan kebakaran paling dahsyat dinamakan Kebakaran Old Trails yang memusnahkan seluruh kawasan perumahan ketika api sampai ke Spokane.
Ikat jamin suspek dinaikkan daripada AS$1 juta (RM4.09 juta) kepada AS$2 juta (RM8.19 juta). Suspek juga tidak menyatakan sama ada mahu mengaku bersalah atau sebaliknya.
Namun, sebelum perbicaraan, Farinacci mengaku kepada polis bahawa dia merancang kebakaran itu selama dua minggu dan merujuk aplikasi cuaca untuk meramalkan hari dengan ‘angin kencang, kelembapan rendah dan kepanasan tinggi,’ demikian menurut dokumen mahkamah difailkan kelmarin.
Dia juga mengaku tertarik dengan api dan percaya ‘apa sahaja yang dibakar api akan mengalami kelahiran semula’, kata seorang detektif dalam dokumen itu.
Farinacci memilih Sabtu lalu untuk memulakan kebakaran kerana dia tahu hari itu berangin, dengan tiupan sehingga 80 kilometer sejam di samping keadaan lain yang ‘sesuai untuk mencetuskan kebakaran’, tambah dokumen sama.
Pihak pembelaan telah meminta supaya dia menjalani penilaian kesihatan mental.
Pasukan bomba menunjukkan kemajuan sejak beberapa hari lalu dalam mengawal kebakaran hutan di sekitar Spokane, sebuah bandar dengan 230,000 penduduk dan terletak kira-kira 370 kilometer ke timur Seattle. – AFP
The post Lelaki taksub api bakar hutan, 65,000 orang kena pindah appeared first on Kosmo Digital.
