Auto Added by WPeMatico

![]()
Dahulu, Paris cukup terkenal sebagai Kota Cinta, dikunjungi jutaan manusia dari seluruh pelusuk dunia untuk menyaksikan bandar romantik dengan keindahan seni bina yang mengkagumkan.
Malah Perancis sendiri merupakan sebuah negara di Eropah Barat yang kaya dengan sejarah politik, kebudayaan, falsafah, seni dan pengaruhnya dalam perkembangan demokrasi moden.
Malangnya minggu lalu, Perancis mencatat sejarah buruk apabila demonstrasi aman bantahan terhadap kerajaan bertukar menjadi rusuhan ganas, merompak, membakar dan menjarah gedung-gedung perniagaan serta merosakkan pelbagai kemudahan awam.
Meskipun Perancis mencatat rekod beberapa tunjuk perasaan besar sebagai simbol kebangkitan rakyat menentang ketidakadilan kerajaan terutama Revolusi Perancis 1789, namun rusuhan dan keganasan yang terbaru jelas memperlihatkan kedangkalan rakyat negara itu sendiri.
Dilaporkan tunjuk perasaan berkenaan berpunca daripada beberapa isu dan antara yang dibangkitkan ialah masalah pendidikan termasuk kekurangan guru, kelas yang terlalu sesak, bangunan sekolah daif dan kemudahan pembelajaran yang tidak mencukupi sehingga golongan pelajar turun ke jalanan bagi menzahirkan bantahan.
Selain itu, rakyat Perancis turut dibebankan dengan kos sara hidup dan tekanan ekonomi – sama seperti yang berlaku di negara lain, berikutan peningkatan perbelanjaan harian, gaji yang tidak setimpal serta sukar mendapatkan pekerjaan.
Keadaan diburukkan dengan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan yang bercadang mengurangkan perbelanjaan awam selain marah dengan cara pihak berkuasa menangani demonstrasi yang dianggap cuba menyekat rakyat daripada bersuara.
Isunya adalah, jika mahu menzahirkan bantahan kepada kerajaan mengapa bertindak sehingga keadaan menjadi ganas, tidak terkawal dan huru-hara yang jelas tidak memperlihatkan kematangan sebagai rakyat sebuah negara maju.
Meskipun ada yang berpandangan tindakan itu adalah melibatkan kumpulan kecil ekstremis yang cuba mengambil kesempatan mencetuskan kekacauan serta meraih peluang ketiadaan pihak polis untuk melakukan jenayah mencuri. Semua itu tidak boleh diterima sama sekali.
Sebagai rakyat, kita bukan sahaja bertanggungjawab membetulkan kerajaan melalui saluran yang betul tetapi juga bersama-sama menjaga keamanan dan keselamatan semua orang.
Para peniaga tidak wajar menjadi mangsa keadaan. Beribu-ribu peniaga rakyat Perancis termasuk Hassan dari Bangladesh dan Aline Li dari China kehilangan segala-galanya yang dibina selama berpuluh tahun di Kota Cinta tersebut akibat keganasan yang asal daripada satu demonstrasi aman.
Dianggarkan 3,000 premis perniagaan terjejas akibat keganasan berkenaan yang menyebabkan kerugian 1.1 bilion Euro (RM5.1 bilion) akibat kerosakan harta benda, kedai, kemudahan awam, kenderaan dan harta persendirian.
Itu belum lagi puluhan ribu rakyat Perancis kehilangan pekerjaan (kerana kedai rosak, perniagaan terhenti) selepas gedung-gedung perniagaan dirompak, dirosak dan dibakar.
Ternyata bahawa meskipun budaya demonstrasi di negara tersebut berkait rapat dengan sejarah revolusi, tradisi kesatuan pekerja dan hak rakyat menyuarakan bantahan. Namun sewajarnya ada satu benteng yang jelas bahawa tidak boleh sesekali wujud unsur rusuhan, keganasan dan penjarahan.
The post Demonstrasi tidak bertamadun appeared first on Kosmo Online.
