Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Bukan semua sanggup berkorban demi tuntutan watak, namun pelakon Aqasha membuktikan komitmennya apabila rela memotong rambut pendek, sekali gus menerima pujian daripada pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima.
Menerusi hantaran Instagram, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 56, berkongsi video memaparkan momen rambut Aqasha digunting bagi persiapan penggambaran akan datang sekali gus kagum dengan komitmen aktor terbabit.
“Ramai yang tolak watak ini sebab tak sanggup potong rambut pendek nombor (tapak) tiga, tapi Aqasha terima.
“Ramai boleh berlakon, tapi tak semua sanggup jadi pelakon sebenar. Syabas, adik saya Aqasha,” tulisnya di ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen dan rakan artis memberikan kata-kata semangat serta meluahkan rasa rindu terhadap lakonan Aqasha.
Malah, ada yang mengaitkan penampilannya kini dengan watak dalam filem Embun arahan Erma pada tahun 2002.
“Botak macam cerita Embun dulu, semoga menjadi,” kata seorang pengguna.
“Macam muka M. Nasir dari jauh,” ujar pelakon Zarina Zainuddin.
“Muka dari filem Embun sampai sekarang sama saja, menolak tua ya,” komen seorang lagi.
Untuk rekod, Aqasha atau nama lengkapnya Firdee Akassya Rosli, 43, memulakan kerjaya sebagai penyanyi sebelum debut lakonannya menerusi filem Embun.
Sejak itu, dia sudah membintangi lebih 20 karya filem dan drama termasuk Man Laksa, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Ajaibnya Cinta, Nafsu dan Tersalah Cinta. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ramai tolak sebab tak sanggup botak tapak 3, tapi Aqasha..’ appeared first on Kosmo Digital.