Auto Added by WPeMatico

IPOH – Seorang wanita berusia lingkungan 60-an, di sini kerugian RM5,030,970 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Perak, Asisten Komisioner Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa yang bekerja dalam bidang profesional itu dikatakan telah diperdaya melalui platform pelaburan mata wang kripto tidak wujud dikenali sebagai ‘ELTFV’.
Beliau berkata, ia diperkenalkan kepadanya melalui media sosial Facebook serta kumpulan pelaburan dalam talian dikenali sebagai ‘AB4 Trend Navigation’.
“Siasatan awal mendapati transaksi pertama dibuat pada Julai 2025 dengan jumlah RM10,000, manakala transaksi terakhir dilakukan pada Ogos 2025. Keseluruhan jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM5,030,970.
“Modus operandi sindiket adalah dengan meyakinkan mangsa melalui paparan keuntungan awal dalam sistem pelaburan bagi menarik keyakinan.
“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Noor Hisam berkata, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang pokok serta keuntungan, transaksi tidak berjaya dan akses kepada platform disekat.
Beliau berkata, mangsa akhirnya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mengesahkan platform pelaburan tersebut tidak berdaftar serta disenarai sebagai entiti pelaburan tidak sah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita mangsa pelaburan kripto tak wujud rugi RM5 juta appeared first on Kosmo Digital.