Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Seorang peniaga muda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuba ‘mengaut jalan pintas’ apabila memberikan rasuah RM600 kepada seorang pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi mengelakkan premisnya disita kerana beroperasi tanpa lesen sah, tahun lalu.
Tertuduh, Liau Hock Soon, 28, bagaimanapun menggeleng kepala dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Hock Soon didakwa menyogok wang tunai tersebut kepada anggota penguat kuasa MBIP di sebuah premis di Jalan Pelepas 3, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada pukul 12.20 tengah hari, 9 Disember 2024.
Perbuatannya itu dilakukan sebagai dorongan untuk pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kedainya yang beroperasi tanpa lesen.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Hock Soon turut berdepan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu perempat hukuman maksimum kesalahan asal, denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli mengendalikan kes manakala tertuduh diwakili peguam K. Barathi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintahkan melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Johor Bahru.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Disember ini.-KOSMO! ONLINE
The post Hulur RM600 elak kena saman appeared first on Kosmo Digital.