Auto Added by WPeMatico

![]()
LOS ANGELES – Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat kelmarin ketika Pantai Barat Amerika Syarikat bersiap sedia untuk menghadapi fenomena cuaca El Nino yang dijangka membawa kerosakan.
Pakar-pakar ramalan cuaca berkata, ribut kencang diramal di Pantai Barat pada bulan-bulan akan datang disebabkan oleh corak cuaca tersebut, dengan ancaman air pasang lebih tinggi daripada biasa yang boleh mencetuskan banjir di kawasan pantai.
Newsom berkata, negeri California perlu bertindak lebih awal sebelum masalah berlaku dan bukannya menunggu ia berlaku.
“Pengisytiharan ini untuk memberikan sokongan yang diperlukan oleh komuniti, memberi responden pertama alat untuk menjalankan tugas mereka, dan memberikan keyakinan kepada keluarga bahawa negeri mereka bersedia.
“Kami membuat persiapan menghadapi El Nino ini lebih awal kerana setiap penduduk California berhak untuk selamat di rumah mereka, terhubung dengan komuniti dan dilindungi apabila cuaca buruk melanda,” katanya.
Pengisytiharan itu juga menyediakan Pengawal Kebangsaan California untuk menyokong misi tindak balas banjir, operasi mencari dan menyelamat, kejuruteraan, serta logistik apabila diperlukan, kata beberapa pegawai.
El Nino tahun ini mempunyai 75 peratus peluang untuk menjadi yang terkuat dalam rekod, demikian menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan. – AFP
The post California isytihar darurat El Nino appeared first on Kosmo Online.
