Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Ajinomoto (Malaysia) Berhad menerima pengiktirafan sebagai peneraju kelestarian di Anugerah ESG PLUS 2025 apabila meraih dua anugerah berprestij bagi pencapaiannya dalam Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa, serta Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Bersih dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, kelmarin.
Anugerah Ekonomi Kitaran dan Pengurusan Sisa mencerminkan usaha Ajinomoto Malaysia dalam mengurangkan sisa dan menggunakan sumber dengan lebih cekap.
Syarikat telah melaksanakan pendekatan 4R dalam pengurusan sisa, melibatkan penukaran enapcemar air sisa kepada baja bio yang diluluskan, serta menggantikan pembungkusan Non-PO Mix yang tidak boleh dikitar semula dengan pembungkusan mono-plastik PO Mix yang boleh dikitar semula bagi AJI-NO-MOTO Umami Seasoning.
Sementara Anugerah Tenaga Boleh Baharu dan Teknologi Bersih mengiktiraf pelaburan masa depan Ajinomoto Malaysia di Kilang Pintar di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang direka untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, bahan dan air.
Kilang ini dilengkapi sistem solar fotovolta 4.2 MW yang menjana kira-kira 4,500 MWh tenaga bersih setiap tahun, meraih pensijilan CVA GOLD di bawah Indeks Bangunan Hijau, serta menjalani Audit Tenaga untuk mengenal pasti penambahbaikan kecekapan.
Menurut Ajinamoto Malaysia, pencapaian berkenaan mengukuhkan komitmennya dalam memajukan perjalanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sambil terus memperkukuh prestasi ESG serta mencipta impak positif berkekalan kepada pemegang kepentingan dan kelestarian perniagaan. – KOSMO! ONLINE
The post Ajinamoto curi tumpuan di Anugerah ESG PLUS 2025 appeared first on Kosmo Digital.