Auto Added by WPeMatico

NARATHIWAT, THAILAND – Impian penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan untuk segera keluar dari penjara masih belum kesampaian apabila mereka perlu menjalani tambahan tempoh tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat selama sebulan lagi.
Keputusan itu susulan Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan rayuan pihak pendakwa raya untuk melanjutkan tahanan reman terhadap Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan lima lagi rakyat Malaysia itu semalam.
Berdasarkan rekod, ini merupakan rayuan kali kedua pihak pendakwaan untuk menyiasat kes melibatkan penyanyi sohor dari Kelantan bersama suami dan empat rakannya itu selepas dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok pada 6 Mac lalu.
Memetik laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, mahkamah telah membenarkan permohonan pendakwa raya yang dibuat pagi semalam.
Menurutnya, permohonan pertama bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sepatutnya tamat pada 6 Mei depan.
“Bagaimanapun, pendakwa raya telah mengemukakan permohonan kedua melanjutkan tempoh memfailkan rayuan pagi semalam. Tempoh lanjutan kedua itu selama sebulan dan akan berakhir 6 Jun.
“Pendakwa raya boleh mengemukakan permohonan kali ketiga yang merupakan rayuan terakhir apabila tamat tempoh pada 6 Julai sebelum memfailkan rayuan rasmi,” katanya.
Jurucakap itu memberitahu, pendakwa raya memfailkan rayuan untuk melanjutkan tahanan reman kerana masih berusaha mengumpul bukti dan saksi baharu untuk proses rayuan seterusnya.
Keputusan itu menyebabkan Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, akan menjalani prosiding perbicaraan sekali lagi di Mahkamah Rayuan Narathiwat apabila mahkamah membenarkan rayuan tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Mereka dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Salah seorang daripada peguam keenam-enam tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata, enam anak guamnya masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan.
Menurutnya, ia berikutan mereka perlu menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Kepulangan Eda Ezrin tertangguh, pendakwa raya fail rayuan kali kedua appeared first on Kosmo Digital.