Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Taktik ‘menyembunyikan’ lima kenderaan termasuk jenis Porsche 911 turbo S dalam gudang berlesen selama tiga bulan bagi mengelakkan duti eksais terbongkar apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sekitar Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
Serbuan dilakukan antara 17 hingga 27 Oktober lalu, termasuk di Zon Bebas Cukai, dengan nilai keseluruhan kenderaan disita dianggarkan RM475,383.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, berdasarkan siasatan mendapati tiga buah kenderaan berpetrol terpakai tersebut telah melebihi tempoh penyimpanan selama tiga bulan yang dibenarkan dalam gudang berlesen.
Katanya, ia merangkumi jenis Toyota Granace, Porsche 911 turbo S dan BMW 420i M Sport Auto dengan jumlah duti cukai gagal dibayar pemilik gudang itu.
“Turut disita adalah dua buah kenderaan elektrik jenama Dongfeng Forthing yang dipercayai tidak mempunyai permit import walaupun telah diikrarkan melalui borang zon bebas.
“Kelisa-lima kenderaan itu dipercayai dibawa masuk dari Jepun, Eropah dan China,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Jelasnya, duti bagi lima kenderaan itu adalah sebanyak RM541,246 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan (d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE
The post Porsche 911 Turbo antara lima kenderaan dirampas kastam appeared first on Kosmo Digital.