Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Sebanyak RM100,000 diperuntukkan melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi menaik taraf fasiliti dua buah sekolah menengah di kawasan Parlimen Sungai Buloh.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peruntukan itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sierramas dan SMK Seksyen 4 Kota Damansara, masing-masing menerima RM50,000.
Menurutnya, ia bagi tujuan pembinaan laluan berbumbung, bilik darjah baharu, baik pulih kantin dan kemudahan asas lain yang memerlukan penyelenggaraan segera.
“Inisiatif ini bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat, selaras dengan pertambahan jumlah pelajar serta keperluan pendidikan semasa.
“Kita mahu anak-anak Sungai Buloh mendapat akses kepada pendidikan terbaik. Sekolah mereka juga perlu lengkap dengan kemudahan yang mesra pembelajaran dan selamat. Ini adalah pelaburan untuk masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program tersebut di kedua-dua sekolah berkenaan, hari ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mengumumkan bahawa, lebih 10 pelajar cemerlang SPM 2024 dari kedua-dua sekolah akan menerima Insentif Khas Pendidikan daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.
Beliau juga menyumbang RM6,000 secara peribadi kepada penerima Anugerah Kecemerlangan SPM dari SMK Seksyen 4 Kota Damansara.
“Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Parlimen Sungai Buloh dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, bukan hanya dari segi infrastruktur tetapi juga dalam mengiktiraf usaha dan pencapaian para pelajar,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR). – KOSMO! ONLINE
The post RM100,000 naik taraf dua sekolah menengah di Sungai Buloh appeared first on Kosmo Digital.