Auto Added by WPeMatico

![]()
KANGAR – Pengorbanan dua nelayan yang berdepan pendapatan tidak menentu demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna berbalas apabila zuriat mereka muncul antara pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Seorang nelayan, Abdullah Mat Daud, 54, berkata, segala penat lelah mencari rezeki di laut selama ini berbaloi selepas anaknya, Nur Zaitee Abdullah, 20, berjaya memperoleh keputusan cemerlang.
“Pendapatan saya tidak menentu, kadang-kadang sekitar RM60 sehari sahaja, namun saya sentiasa berpesan kepada anak-anak supaya mencari rezeki yang halal, menjaga solat dan belajar bersungguh-sungguh. Bukan mudah membesarkan anak-anak pada zaman sekarang tetapi saya bersyukur segala pengorbanan itu membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma di sini hari ini.
Bagi Nur Zaitee, 20, berkata, apa sahaja tugasan yang diberikan guru, dia akan menyiapkan dengan segera dan adakalanya bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran selain bercadang mahu menyambung pengajian dalam bidang Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mohammad Shukor Man, 52, berkata, kepayahan hidup sebagai nelayan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.
“Kalau musim ribut, hendak dapat RM100 atau RM200 sehari pun susah. Kami tidak pandai belajar seperti anak-anak sekarang, jadi harapan kami hanya mahu melihat mereka berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah, usaha yang dilakukan selama ini berhasil dan kami bangga dengan pencapaian anak,” ujarnya.
Bagi Nur Farahhanna, dia menyifatkan dirinya bukan seorang ulat buku serta banyak cabaran perlu dihadapi sepanjang pengajiannya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua nelayan bersyukur anak cemerlang STPM appeared first on Kosmo Digital.
