Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Pertelingkahan berhubung isu pengurusan Tabung Haji tidak wajar dibiarkan berpanjangan dan perlu diselesaikan secara baik.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ini kerana Tabung Haji merupakan simbol maruah umat Islam di negara ini dan lambang keyakinan para pendeposit terhadap institusi berkenaan.
“Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan.
“Maka, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak kembali kepada panduan syarak dan prinsip tadbir urus yang berteraskan integriti bagi memastikan institusi itu kekal diyakini dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam.
Tambahnya, Tabung Haji perlu terus unggul dan dipelihara reputasinya sebagai institusi pengurusan haji yang berteraskan syariah.- KOSMO! ONLINE
The post Selesaikan isu Tabung Haji secara baik – Dr. Zulkifli appeared first on Kosmo Digital.