Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Bekas pengendali kebangsaan, Datuk Dollah Salleh kembali bergelar ‘budak universiti’ apabila bakal melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan master dalam jurusan sains sukan.
Walaupun bakal genap 62 tahun, Oktober ini, Dollah tidak merasakan sudah terlambat untuknya sertai inisiatif Yayasan Lagenda yang membuka peluang kepada bekas pemain bola sepak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Pada mulanya saya pun kurang berminat untuk sambung belajar namun selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Azlan Johar (Pengerusi Yayasan Legenda), saya terfikir apa salahnya sambung belajar. Malah, saya juga dengar ada yang umur 80 tahun pun masih belajar.
“Kalau dulu memang tidak fikir langsung untuk belajar sebab kepala hanya fikir bola saja. Saya pernah ambil diploma tetapi itu pun sekitar 20 hingga 30 tahun dulu.
“Kali ini saya mahu ambil ijazah dan hingga ke peringkat master, kalau boleh nak mula secepat mungkin. Ini pun demi masa depan juga dan bagi saya tiada istilah sudah terlalu lewat untuk belajar,” katanya.
Sebelum itu, Dollah menjadi bekas pemain bola sepak terawal menyertai usaha Yayasan Lagenda yang menjalinkan kerjasama dengan Kolej Universiti Antarabangsa Spektrum (SIUC).
Sementara itu, Azlan menjelaskan tujuan utamanya adalah membantu bekas pemain bola sepak negara memiliki kelayakan lebih tinggi dalam akademik sekali gus memudahkan meraih pekerjaan atau pendapatan selepas bersara.
“Sebagai permulaan ini kami sasarkan sekurang-kurangnya 20 bekas pemain dan mereka yang berminat boleh membuat permohonan kepada Yayasan Lagenda.
“Bagi peringkat pertama ini kami buka peluang kepada bekas pemain negara dahulu dan jika semuanya berjalan lancar, mungkin selepas ini kami buka kepada pemain negara yang masih aktif bermain,” ,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dollah Salleh masuk kampus appeared first on Kosmo Digital.