Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Hasrat seorang peniaga mengeluarkan wang keuntungan berjumlah kira-kira RM2 juta bukan sahaja musnah tetapi dia mengalami kerugian sebanyak RM335,450 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 19 November tahun lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 51 tahun melihat iklan berkaitan pelaburan saham di laman Facebook.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp dan suspek telah menawarkan satu pelaburan saham dengan menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 12 peratus dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dengan modal permulaan sebanyak RM10,000.
“Suspek telah memberikan satu pautan kepada mangsa untuk memuat turun dan melabur melalui satu aplikasi,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang tempoh dari 4 Disember 2025 hingga 27 Januari 2026, mangsa telah membuat sebanyak 19 transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM335,450.
Katanya, melalui aplikasi tersebut, mangsa telah dimaklumkan bahawa pelaburannya kononnya telah memperoleh keuntungan sehingga berjumlah RM2,418,499.55.
“Namun begitu, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran.
“Mangsa berasa curiga sebelum menyedari dirinya telah ditipu,”katanya.
Tambahnya, sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada rakan-rakan.-KOSMO! ONLINE
The post Hasrat kaut untung RM2juta lebur, peniaga rugi RM335,450 appeared first on Kosmo Digital.